Carian
CFM Seru Syarikat Telekomunikasi Beri Pampasan Untuk Gangguan Perkhidmatan
July 8, 2022 Aman

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) kini menyeru sebuah garis panduan disediakan berkenaan dengan pampasan gangguan perkhidmatan telekomunikasi kepada pengguna.

Perkara ini diseru oleh CFM lanjutan daripada gangguan perkhidmatan Maxis yang berlaku baru-baru ini.

Pada hari ini, kebergantungan pengguna terhadap telekomunikasi adalah sagat tinggi, dan sebarang gangguan memberikan kesan yang sangat besar kepada seseorang pengguna. Ini bukan sahaja untuk berkomunikasi, tetapi turut dalam membuat perancangan pengangkutan, untuk makan, mengikuti pendidikan, mahupun untuk tujuan pembayaran.

CFM menyeru supaya syarikat telekomunikasi tawarkan lebih daripada sekadar permohonan maaf. Sebelum ini, kita sedia melihat beberapa syarikat telekomunikasi memberikan ganti dalam bentuk data untuk beberapa jam, selain SMS percuma. CFM mengatakan kedua-dua ini tidak setimpal dengan kerugian pada pengguna – apatah lagi dengan SMS yang kurang digunakan, selain ramai yang telah melanggan pakej data tanpa had.

Dengan menuju ke era 5G, CFM menyeru supaya tidak berlaku gangguan telekomunikasi, dan sekiranya berlaku, pengguna diberikan dengan pampasan yang setimpal dengan kerugian.

CFM juga menyasarkan dengan adanya garis panduan pampasan, jumlah aduan yang diterima akan berkurangan, atau diselesaikan dengan lebih cepat.

Komen