Red Magic Akan Melancarkan Paparan Skrin, Papan Kekunci Dan Tetikus Gaming Pada 11 Julai Ini

Diterbitkan pada July 8, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Red Magic oleh Nubia ialah jenama peranti pintar yang cukup terkenal untuk penawaran gaming mereka, menggabungkan komponen-komponen dengan spesifikasi berkuasa dan juga rekaan peranti yang cukup menarik.

Terkini, Red Magic dilihat akan memasuki arena perkomputeran pula, dimana mereka akan melancarkan paparan skrin gaming, papan kekunci gaming dan tetikus gaming tidak lama lagi. Kesemua aksesori dan perkakasan ini telah diacahkan oleh pihak Red Magic dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Paparan skrin gaming ini dinamakan Red Devil Gaming Monitor dan menggunakan paparan skrin Mini LED 27 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 160Hz. Ia juga mempunyai rekaan hampir nirbingkai di bahagian sisi dan dahi.

Papan kekunci Red Magic pula dilihat hadir dengan rekaan bersaiz 1800 dan hadir dengan lekapan menggunakan gasket dan suis mekanikal daripada jenama TTC. Dalam pada itu, papan kekunci ini juga hadir dengan tombol yang boleh diputar untuk mengawal kelantangan audio komputer.

Tetikus gaming Red Magic dilihat hadir dengan rekaan yang agak agresif, menggabungkan rangka berwarna hitam dengan cerakan merah dan sistem pencahayaan RGB terbina. Tetikus ini menggunakan sensor Pixart PAW3395 dengan gabungan teknologi MotionSync Red Magic yang akan menjadikan pergerakan tetikus diatas skrin lebih lancar.

Red Magic dijangka akan melancarkan aksesori-aksesori dan perkakasan ini pada 11 Julai ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami