Carian
Instagram Menguji Ciri Penstriman Langsung Instagram Live Melalui Desktop
July 12, 2022 Fahim Zahar

Instagram sedang sibuk menjadikan perkhidmatan media sosial mereka fokus terus ke format video. Baru-baru ini mereka dilaporkan akan memaparkan semua siaran video ke Reels. Instagram turut sibuk menjadikan platform mereka lebih mirip TikTok, seperti tatalan pada susur masa secara menegak tanpa henti.

Dengan ingin fokus lagi ke kandungan video, Instagram kini membenarkan pengguna melakukan penstriman langsung terus melalui aplikasi web di desktop. Selama ini, penstriman langsung hanya boleh dilakukan melalui aplikasi Android atau iOS – kini ia berkembang ke desktop untuk berfungsi lebih seakan perkhidmatan penstriman langsung lain seperti Twitch atau YouTube.

Instagram menawarkan alatan produksi Instagram Live Producer, yang membenarkan pengguna mempunyai lebih banyak kawalan seperti menggunakan kamera tambahan, audio daripada mikrofon luaran, menambah grafik seperti judul, peralihan animasi teks, atau terus menggunakan bersama-sama dengan perisian OBS atau Streamlabs.

Berikut adalah format penstriman langsung yang digalakkan;

  • Format video
    • Nisbah video 9:16 (tidak wajib, tetapi digalakkan)
    • 720p @ 30fps (30fps digalakkan, 60fps boleh digunakan tetapi paparan pada alatan suntingan akan memaparkan 30fps (pepijat))
      • Resolusi: 720 x 1280
      • Kadar-bit video: 2,250 – 6,000 Kbps
      • Alternatif (disokong, tetapi tidak digalakkan): 480p @ 30fps, 360p
  • Format audio (format yang standar digunakan banyak perisian OBS)
    • Kadar sampel: 44.1 kHz
    • Saluran audio: Stereo
    • Kadar bit: Mencapai sehingga 256 Kbps

Untuk menggunakan Instagram Live Producer, tekan ikon Add post “+”, pilih Live pada menu dropdown, pada skrin Go live masukkan judul penstriman, pilih penonton, tekan Next untuk dapatkan URL khas dan kunci strim – dan masukkan kunci strim ke dalam perisian penstriman.

Ciri ini masih lagi dalam fasa ujian dan belum diedarkan kepada semua.

Komen