Sony ialah sebuah jenama teknologi yang cukup terkenal untuk penawaran perkakasan dan aksesori elektronik mereka. Mereka juga merupakan pembangun kelengkapan audio yang terkemuka, dan baru-baru ini telah memperlihatkan kemaskini kepada siri pembesar suara nirwayar Sony Wireless X mereka dengan tiga penawaran pembesar suara nirwayar baru.
Ini termasuklah Sony SRS-XG300, Sony SRS XE-300 dan Sony SRS-XG-200, yang mana ketiga-tiga model pembesar suara ini menggunakan komponen audio X-Balanced Speaker Unit dan Dual Passive Radiators yang memberikan bunyi bass yang lebih kuat, tetapi mengurangkan herotan audio.
SRS XG-300 merupakan pembesar suara yang paling premium dalam siri ini, memperlihatkan saiz fizikal yang lebih besar, dan juga mempunyai fungsi-fungsi seperti MEGA BASS dan juga Live Sound yang membolehkan pembesar suara ini memiripi kualiti audio yang dapat didengari semasa anda berada di sebuah acara konsert jika dimahukan.
Untuk pembesar suara Sony SRS-XE300 dan SRS-XE200 pula, pembesar suara ini menggunakan teknologi Line-Shape Diffuser yang membantu pembesar suara ini untuk meningkatkan kelantangan audio dan membolehkannya mengisi ruang-ruang besar dengan lagu kegemaran anda.
Jika anda mahu membawa pembesar-pembesar suara ini kemana-mana, ia juga kalis debu dan air dengan sokongan IP67. Untuk jangka-hayat bateri pula, SRS-XG300 hadir dengan jangka-hayat 25 jam, manakala SRS XE-300 hadir dengan 24 jam dan SRS XE-200 pula mempunyai jangka-hayat bateri 16 jam.
Sony Malaysia dilihat akan membawa masuk model-model pembesar suara baru ini tidak lama lagi, tetapi tanda harga tempatan masih belum diperlihatkan.