Komputer Riba Gaming Colorful X15-XS Ditawarkan Di Pasaran Tempatan Pada Harga RM3899

Diterbitkan pada July 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Colorful ialah sebuah jenama pembuat kad grafik yang cukup terkenal, dan kini dilihat telah memasuki arena perkomputeran pula dengan penawaran peranti-peranti mereka sendiri. Kini, Colorful Malaysia dilihat menawarkan sebuah komputer riba gaming mampu-milik untuk pasaran tempatan.

Dinamakan Colorful X15-XS, komputer riba ini menggunakan panel IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz. Ia juga hadir dengan rekaan bingkai nipis di bahagian sisi, memberi paparan ini nisbah paparan yang lebih besar berbanding dengan pelbagai komputer riba didalam pasaran ini.

Colorful X15-XS ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-12500H dengan memori DDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD sebesar 512GB. Dari segi penawaran grafik, komputer riba ini hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti yang cukup berkuasa untuk menggerakkan sejumlah besar permainan komputer e-sukan hari ini pada resolusi Full HD dan kadar segar semula tinggi dengan tetapan tinggi.

Ia juga hadir dengan papan kekunci dengan sistem pencahayaan dengan tetapan 15 warna cahaya yang berbeza, dan oleh kerana ini adalah sebuah komputer riba yang dikuasakan CPU Alder Lake, ia turut hadir dengan sokongan untuk teknologi seperti Thunderbolt 4 dan juga WiFi 6E terbina.

Komputer riba ini juga tampil dengan bateri bersaiz 54Wh, tetapi jangkahayat bateri ini tidak diberitahu oleh pihak Colorful.

Komputer riba ini juga hadir dengan dua pilihan warna, iaitu Mist Grey dan Pine Blue dan sudah mula dijual di kedai atas-talian di Lazada ataupun kedai-kedai pengedar Colorful pada harga RM3899.

komen


© Amanz / 2022 Kami