Illegear, jenama perkomputeran tempatan hari ini telah menambahkan sebuah lagi paparan skrin gaming kedalam senarai penawaran mereka, iaitu Illegear Apex 25, sebuah paparan skrin gaming 25 inci.
Illegear Apex 25 menggunakan panel IPS 24.5 inci dengan resolusi Full HD dengan kadar segar semula 240Hz dan dilihat boleh memaparkan 99 peratus gamut warna sRGB dan juga menyokong teknologi paparan AMD FreeSync.

Paparan skrin ini cukup sesuai sekali buat mereka yang gemar bermain permainan e-sukan FPS seperti Counter-Strike, Valorant, Apex Legends dan Overwatch yang lebih mementingkan kadar segar semula dan lengah masa sesebuah paparan berbanding dengan resolusi.
Dalam pada itu, ia juga hadir dengan pembesar suara terbina, jadi anda tidak perlu risau mengenai keperluan untuk menggunakan pembesar suara bersama-sama dengan paparan skrin ini.
Illegear mengatakan bahawa paparan skrin Illegear Apex 25 ini sudah mula dijual melalui laman web mereka, dan hadir dengan tanda harga RM899. Buat masa ini, sehingga 31 Julai kelak, setiap pembelian paparan skrin ini akan hadir dengan rebat RM50, selagi stok masih ada.