Lenovo Legion 7 dan Legion 7i Yang Dilancarkan Pada Tahun Ini Tampil Dengan Kekunci WASD Analog

Diterbitkan pada July 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada pertengahan tahun ini, Lenovo telah mengemaskini siri komputer riba gaming Legion 7 dan Legion 7i mereka dengan komponen-komponen baru keluaran AMD, Intel dan NVIDIA yang menjanjikan pengalaman gaming yang mendalam, disamping peningkatan prestasi yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

Salah satu ciri yang ditambah kepada siri komputer riba Legion 7 dan Legion 7i tahun ini ialah papan kekunci TrueStrike yang dibangunkan dengan kerjasama bersama-sama syarikat teknologi penekanan (force sensing) Peratech.

Menggunakan teknologi force-sensing ini, empat kekunci pada komputer riba Legion 7 dan Legion 7i ini, iaitu WASD dilihat hadir dengan pengesanan tekanan yang membolehkan kekunci-kekunci tersebut ditekan sedikit untuk mengaktifkan pergerakan perlahan, ataupun menekan penuh untuk bergerak dalam permainan dengan lebih laju.

Secara ringkasnya, ia dilihat menggunakan teknologi menyerupai kawalan kekayu analog yang menggerakkan watak dalam permainan apabila ditolak sedikit, dan akan menjadi lebih laju apabila kekayu tersebut ditolak dengan lebih kuat.

Peratech mengatakan bahawa tahap tekanan pergerakan perlahan ini boleh diubahsuai menggunakan perisian Hydra UI mereka dan hadir dengan tiga tetapan tekanan asas yang boleh diubahsuai lagi bergantung kepada corak permainan anda.

Lebih menarik lagi, tetapan tekanan ini juga boleh ditetapkan bergantung kepada permainan yang dimainkan, dan akan diubah secara automatik apabila permainan-permainan tersebut dimainkan.

Siri komputer Lenovo Legion 7 dan Legion 7i yang dikuasakan oleh siri CPU Intel Alder Lake dan AMD Ryzen 6000 terbaru kini telah memasuki beberapa pasaran terpilih, tetapi buat masa ini ia masih tidak diketahui bilakah Lenovo Malaysia akan mengemaskini siri komputer riba tersebut untuk pasaran ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami