Cari @ Amanz

Perkongsian audio daripada satu peranti kepada beberapa aksesori audio nirwayar bukanlah sebuah konsep yang baru. Bluetooth dilihat tampil dengan fungsi Audio Sharing seketika dahulu, dan kini telah mengembangkan skop teknologi tersebut untuk penggunaan yang lebih meluas dengan sebuah ciri baru yang dinamakan Auracast.

Auracast

Setelah mengesahkan spesifikasi Bluetooth LE (Low Energy) baru-baru ini, mereka turut memperkenalkan Auracast, iaitu sebuah teknologi baru yang membolehkan peranti-peranti yang menyokongnya untuk memancarkan isyarat audio secara nirwayar kepada aksesori-aksesori audio yang menyokongnya juga.

Selain daripada berkongsi audio peribadi daripada peranti kepada rakan-rakan anda, contoh penggunaan Auracast ini juga adalah seperti di lapangan terbang apabila anda sedang menonton televisyen, dimana paparan tersebut boleh memancarkan audio secara terus kepada aksesori audio anda, tidak kira ia fon telinga TWS, alat bantuan mendengar ataupun pembesar suara padat.

Pengumuman-pengumuman yang secara lazimnya dilakukan melalui pembesar suara juga boleh dipancarkan terus kepada alat pendengaran, yang mana ia merupakan sesuatu yang sangat berguna khususnya apabila anda memilih untuk tidak bergaul dengan orang lain dengan mendengar lagu-lagu kegemaran anda.

Bluetooth SIG mengatakan bahawa siaran Auracast juga boleh dicari melalui senarai yang seakan senarai rangkaian WiFi dan pengguna boleh memilih untuk menyertai mana-mana siaran yang dimahukan. Auracast akan memanfaatkan teknologi Bluetooth LE juga yang menjanjikan kualiti audio yang baik menggunakan lebar jalur yang sedikit sahaja, yang bermakna bahawa anda tidak semestinya perlu membeli fon telinga pada harga yang premium untuk menikmati ciri ini.

Auracast akan diperkenalkan melalui piawaian Bluetooth 5.2 yang turut meliputi teknologi Bluetooth LE yang akan diperlihatkan dalam beberapa bulan akan datang. Sekiranya anda mahu mengetahui lebih lanjut mengenai teknologi ini, laman web Bluetooth SIG mengandungi penerangan lebih mendalam mengenai Auracast.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd