Carian
Teleskop Angkasa James Webb Hadir Dengan Storan SSD 68GB Terbina Sahaja
July 13, 2022 Nazrin

Semalam, teleskop angkasa paling canggih yang dibina, James Webb Space Telescope (JWST) telah mengambil sejumlah gambar alam semesta, dan memperlihatkan pelbagai butiran yang sebelum ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Hari ini, butiran lanjut mengenai operasi satelit tersebut telah dikongsi oleh IEEE Spectrum yang mengatakan bahawa ia hadir dengan storan SSD sebesar 68GB sahaja terbina didalamnya. Lebih menarik lagi, oleh kerana radiasi angkasa lepas dan operasi 24/7 SSD ini, JWST yang akan beroperasi selama 10 tahun menjangkakan bahawa storan tersebut akan hanya mempunyai 60GB storan menjelang akhir misinya.

Jumlah storan 68GB dalam sebuah SSD tidaklah begitu besar, tetapi satelit tersebut menggunakan pancaran frekuensi Ka-band yang boleh memancarkan data ke bumi pada kadar 28Mbps. Satelit ini juga menggunakan pancaran frekuensi S-band untuk memuat-turun dan memuat-naik data kejuruteraan dan kemaskini pergerakan dan hala-tuju satelit ini.

Malah, storan yang digunakan untuk misi ini bukanlah calang-calang storan. SSD ini, yang dinamakan Solid State Recorder dibina khusus untuk menahan radiasi dari angkasa lepas. Ini adalah kerana radiasi tersebut boleh menyebabkan kerosakan fizikal kepada pelbagai kelengkapan elektronik dengan cepat sekiranya tidak dibangunkan dengan betul.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana Teleskop Angkasa James Webb ini berfungsi, anda boleh ke laman web IEEE melalui pautan ini.

Komen