Kebelakangan ini, Intel nampaknya sedang sibuk membangunkan peranti-peranti yang menggunakan komponen mereka sendiri dibawah siri peranti NUC mereka. Jika sebelum ini Intel bersedia untuk menjual komputer NUC yang dikuasakan cip pemprosesan Alder Lake, mereka juga nampaknya sedang membangunkan komputer NUC baru berdasarkan cip pemprosesan generasi ke-13 Raptor Lake.
Dinamakan Raptor Canyon, komputer ini dilihat hadir dengan rekaan lebih besar berbanding dengan kebanyakan komputer NUC yang lain dengan saiz 13.9 liter yang boleh memuatkan bukan sahaja komponen-komponen cip pemprosesan, memori dan storan, tetapi juga sebuah kad grafik bersaiz penuh tanpa masalah.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Raptor Canyon merupakan salah satu komputer dibawah nama NUC Extreme yang memperlihatkan rekaan komputer desktop yang lebih mengancam dari biasa.
Setakat ini ia tidak diketahui lagi samada NUC Raptor Canyon ini akan tiba dengan kad-kad grafik desktop Intel Arc Alchemist, tetapi ia akan memberi pilihan kepada pengguna untuk memuatkan kad grafik mereka sendiri didalamnya tanpa begitu banyak masalah.

Dengan NUC Raptor Canyon, Intel juga akan memperkenalkan komponen Compute Element “Shrike Bay” yang merumahkan cip pemprosesan dan memori dalam satu papan untuk memudahkan penaiktarafan komponen sekaligus.
Intel menjangkakan bahawa komputer Raptor Canyon ini akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini dengan beberapa pilihan cip pemprosesan Intel Raptor Lake.