Karya seni yang dihasilkan oleh Donatello, Michaelangelo, Raphael, dan Leonardo da Vinci dikenali seluruh dunia sehingga dinobatkan sebagai karya seni warisan negara Itali. Bagi memastikan status warisan seni negara ini terpelihara, Kementerian Muzium Itali kini meminta muzium serta institusi seni di dalam negara untuk tidak menawarkan karya seni warisan negara dalam bentuk NFT.

Langkah diambil selepas NFT lukisan Doni Tondo oleh Michaelangelo dijual dalam bentuk NFT pada harga €240,000 oleh Galeri Uffizi di Florence. Ini membuka persoalan siapa kini pemilik sebenar Doni Tondo dan adakah NFT akan mengurangkan nilai seni warisan fizikal sedia ada.
NFT dijual oleh galeri terkemuka bagi menampung kos operasi yang tinggi dan menimbulkan minat orang ramai dengan karya seni. Langkah penjualan karya seni warisan negara sebagai NFT juga dilakukan oleh muzium terkemuka Hermitage di St Petersberg dan Muzium British. Dengan demam NFT kini semakin berkurangan, arahan yang diberikan oleh Itali ini tiba tepat pada waktunya.
- Sumber
- Sumber – ArtNet