Cari @ Amanz

WPS Office, perisian produktiviti seperti Microsoft Office keluaran Kingsoft dari China baru-baru ini telah mengesahkan bahawa perisian tersebut boleh mengunci mana-mana fail yang tampil dengan perkataan-perkataan Bahasa Cina yang sensitif.

Kemaskini baru perisian tersebut dilihat memperkenalkan penjejak menaip ataupun perkataan yang membolehkan perisian tersebut untuk mengunci sesebuah fail apabila gabungan perkataan-perkataan tertentu yang dilihat mengganggu sensitiviti umum diperlihatkan.

Lebih mengejutkan lagi, fungsi mengunci fail ini aktif walaupun apabila perisian tersebut tidak bersambung kepada internet, dan perkara ini merungsingkan pelbagai pihak, khususnya syarikat-syarikat kecil yang bergantung kepada perisian ini untuk tujuan produktiviti harian.

Perkara ini diperlihatkan baru-baru ini apabila warga di China yang menggunakan perisian ini berasa tercengang kerana fail-fail kerja mereka dikunci bagaikan digodam oleh perisian tebusan, dengan amaran bahawa fail tersebut mempunyai kandungan yang “dilarang” dan akses kepada fail tersebut tidak dibenarkan.

Seorang penulis novel mengatakan bahawa fail manuskripnya dengan satu juta perkataan telah dikunci oleh WPS Office dan sehingga kini masih tidak boleh diakses. Penapisan kandungan di China bukanlah sesuatu yang baru, tetapi perkara ini boleh dilihat sebagai satu lagi langkah untuk memaksa rakyatnya untuk mematuhi undang-undang negara tersebut.

WPS Office secara lazimnya digunakan di China sebagai pengganti kepada perisian Microsoft Office yang dilihat jauh lebih mahal untuk dilanggan, tetapi dengan sekatan perkataan sebegini, para penulis, pekerja pejabat dan syarikat-syarikat di China nampaknya perlu mencari alternatif lain untuk tujuan produktiviti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd