Samsung mempunyai sistem pencarian peranti hilang tersendiri seperti Apple Find My, iaitu SmartThings Find. Dengan sistem ini, pengguna peranti Samsung boleh tambat peranti mereka dengan akaun Samsung untuk ia berada dalam sistem SmartThings Find. Ini bermakna, jika peranti pengguna hilang atau gajet seperti Galaxy Buds atau Galaxy Watch boleh dicari dengan mudah.
Galaxy SmartTag dan SmartTag+ adalah penjejak objek Samsung tersendiri yang menggunakan sistem Bluetooth dan UWB. Apple hanya ada variasi dengan UWB iaitu AirTag. Penjejak objek Samsung ini turut menggunakan sistem pencarian SmartThings Find yang mana boleh digunakan sebagai gajet tambahan untuk mencari objek lain milik pengguna kerana ia boleh digunakan sebagai rantai kunci.

Samsung melaporkan yang kini nod carian SmartThings Find mereka telah mencapai lebih 200 juta nod carian. Ini memberi petanda terdapat lebih 200 juta peranti Samsung yang aktif menggunakan SmartThings Find. Dengan menggunakan peranti yang telah berdaftar ini, ia boleh membantu semua pengguna peranti Samsung lebih mudah mencari objek hilang dengan sistem tersendiri mereka ini. Objek juga boleh dicari dengan lebih jitu.
Walaupun peranti semua pengguna aktif digunakan untuk mencari peranti pengguna lain, lokasi dan data pengguna masih dilindungi agar tidak dapat diakses oleh orang lain. Samsung Knox turut digunakan untuk menyulitkan data-data pengguna dan lokasi peranti yang dicari hanya akan didedahkan jika dibenarkan pengguna. ID carian pengguna juga disegar semula untuk setiap 15 minit.