Cari @ Amanz

Apabila bercakap mengenai fon telinga yang memfokuskan permainan video, lazimnya ia lengkap dengan sokongan audio dan mikrofon yang berkualiti. Baru-baru ini, pengguna di Malaysia telah menerima kehadiran sepasang fon telinga nirwayar permua dikenali ASUS ROG Cetra True Wireless. Difahamkan, ini adalah cubaan pertama ASUS dalam menghasilkan fon telinga nirwayar.

Pada masa yang sama, ia turut dilihat hadir dengan elemen-elemen yang jelas meletakkan dalam kelas tersendiri. Bagi melihat penawaran penuh dan pendapat kami mengenai fon telinga daripada ASUS ini, teruskan membaca artikel ulasan sehingga ke penghujung.


Spesifikasi

ASUS ROG Cetra True Wireless
JenisFon dalam telinga
Pemacu Audio10mm
SBC & AAC Audio Codec
Stereo
Pembatalan Hingar Aktif
MikrofonDua
Sistem operasi disokongPC
MAC
Nintendo Switch
iOS
Android
Bateri4.8 hingga 17 jam (ANC)
5.5 hingga 21.5 jam(ANC OFF)
TambatanBluetooth
Google Fast Pair
PengecasanUSB-C
Sokongan aplikasiArmoury Crate
KawalanKawalan Sesentuh
Kemampuan kalis airIPX4
Harga JualanRM515


ASUS ROG Cetra True Wireless merupakan set fon telinga nirwayar dari jenis dalam telinga (in-ear) bertangkai dan putik silikon untuk keselesaan tambahan. Turut disediakan adalah putik silikon tambahan dengan dua saiz berbeza bertujuan memudahkan penggunaan – satu lebih kecil satu lagi lebih besar. Pod pengecasan yang disediakan juga tidak terlalu besar dan mudah untuk dikendali.

Keseluruhan pod pengecas menggunakan bahan berasaskan plastik dengan kemasan matte yang semestinya mampu memberi cengkaman lebih baik. Meletakkannya di dalam poket atau beg kecil juga tidak terasa membebankan kerana binaan tubuh yang elok. Terdapat juga logo ROG yang melambangkan penjenamaan produk itu sendiri. Penggunaannya juga turut menjadi lebih mudah dengan adanya penunjuk untuk bahagian kanan dan kiri.

Buka sahaja penutup pada bahagian atas akan terdapatnya satu lampu LED yang akan menyala. Terdapat juga pencahayaan RGB berbentuk nipis pada luar pod pengecas untuk menunjukkan tahap bateri. Malangnya, tiada kebolehan untuk pengubahsuaian padanya. Seterusnya, pod pengecasan ini turut boleh dicas secara wayarles yang mana dirasakan ciri yang agak sukar ditemui pada fon telinga dengan julat harga ini.

Seterusnya, ia turut menggunakan port sambungan USB-C bertujuan untuk proses pengecasan semula. Ia diletakkan pada bahagian belakang berdekatan dengan engsel. Bagi memudahkan lagi pengalaman penggunaan, kabel USB-A ke USB-C turut didatangkan sekali di dalam kotak pembelian.


Pengalaman Penggunaan

Pada pengamatan kami, ASUS ROG Cetra True Wireless adalah set fon telinga nirwayar dengan reka bentuk yang ergonomik. Ia juga ringan dan selesa untuk digunakan meskipun untuk jangka masa yang panjang. Gabungan tubuh dengan kemasan tidak berkilat dengan rona polos hitam kelihatan cukup kemas dan ringkas.

Dalam masa sama, penjagaan juga cukup mudah kerana ia susah kotor dan tidak kusam. Ditambah pula dengan pilihan putik telinga yang pelbagai turut memudahkan kami untuk mendapatkan saiz yang sesuai dengan telinga. Ini bagi menjadikan pengalaman penggunaan lebih baik tanpa mudah lolos daripada telinga sewaktu menggelengkan kepala sambil mendengar lagu bergenre rancak.

Dari segi prestasi, ASUS ROG Cetra True Wireless mempunyai profil audio ke arah lebih nyaring tetapi dengan treble yang tenang. Butiran pada audio banyak yang tersembunyi. Dalam masa sama, ia juga tidak konsisten dengan profil bunyi yang ada masanya baik dan ada pula masanya kurang memuaskan. Di samping itu, kami juga mendapati setiap dentuman bass mempunyai kesan yang statik tetapi tidak begitu kerap.

Namun begitu, keupayaan untuk mid-bass didapati sedikit berbeza di mana ia boleh diklasifikasikan sebagai cukup kuat dan baik. Kami juga boleh katakan inilah antara perkara terbaik pada TWS ini. Bagaimanapun, ia masih belum sempurna kerana ia masih tidak mampu memberikan pengalaman bass yang sempurna untuk kepuasan ketika mendengar.

Seperkara lagi, lontaran vokal yang dihasilkan kedengaran sedikit tajam dan tidak cukup natural. Akibatnya, pengalaman pendengaran menjadi kurang menyenangkan kerana berkecamuk. Dalam satu keadaan ia juga kedengaran begitu santai.

Sentuh mengenai high pula, kami berpendapat kebolehannya di sini tidak begitu memuaskan. Lontaran yang dihasilkan kurang menyerlah dan tidak cukup tinggi. Disebabkan itu, butiran yang dihasilkan melaluinya boleh dikatakan tidak mencukupi. Lebih mengecewakan, lontaran nada tinggi juga kedengaran tidak memuaskan kerana hasilnya tidak sampai pada tahap yang sepatutnya. Dalam masa sama, pementasan audio juga agak bercelaru seakan kesemua instrumen dimainkan pada jarak yang dekat – sehinggakan suka untuk membezakan di antara satu sama lain.

Seperkara lagi, ia juga berfungsi pada dua aplikasi yang berbeza. Maksud kami di sini, ASUS ROG Cetra True Wireless dilihat masih memerlukan aplikasi Armoury Crate di Play Store jika ingin digunakan bersama pada peranti Asus ROG Phone 6 Pro. Ia tidak tidak akan berfungsi apabila digunakan pada aplikasi Armoury Crate yang sedia terbina. Seterusnya, kami juga mendapati tiada sebarang perubahan untuk kualiti audio untuk penggunaan menerusi aplikasi. Sebaliknya, kelebihan hanya terdapatnya kebolehan pengoptimasian untuk bermain permua sahaja.


Bateri

Setiap fon telinga diiklankan boleh bertahan mencapai 5.5 jam penggunaan dengan sekali cas. Ia kemudiannya boleh bertambah kepada 21.5 jam dengan bantuan pod pengecasan. Penggunaan dunia nyata secara berterusan membolehkan ia beroperasi kira-kira 4 jam sebelum perlu dicas semula. Ini bagaimanapun sebenarnya bergantung kepada tahap kekuatan audio secara berterusan.

Jangka hayat ini bukanlah sepenuhnya tidak baik, tetapi ia mungkin boleh menjadi lebih baik. Apa yang menjadi keutamaan di sini bukanlah soal berapa lama ia mampu beroperasi dengan pod pengecas. Sebaliknya ketahanan untuk setiap fon telinga itu sendiri. Anggaran tempoh pengecasan semula pula mengambil masa lebih satu jam untuk penuh menerusi port sambungan USB-C.


Kesimpulan

Adakah ASUS ROG Cetra True Wireless memberikan perspektif yang positif atau sebaliknya? Pada pengamatan kami, ia mempunyai kedua-duanya. Mengapa? Tidak dinafikan, setiap elemen rekaan yang diwujudkan oleh ASUS adalah menarik dan kreatif. Sokongan lampu RGB membuatkannya tampak lebih menonjol, tambahan pula tidak banyak fon telinga nirwayar di pasaran yang menampilkan rekaan sebegini. Maka, ia tidak nampak bosan dengan rekaan yang biasa.

Bagaimanapun perlu kami katakan yang mana prestasi fon telinga ini tidak mampu memberikan pengalaman pendengaran yang memuaskan. Dengan harga jualan RM515, ia boleh dikatakan agak kurang berbaloi dari aspek kualiti audio. Sebabnya masih terdapat beberapa pilihan lain dengan kualiti audio lebih baik yang dijual. Pesaing terhampir untuk fon telinga pastinya Razer Hammerhead True Wireless Pro Earbuds. Namun begitu, sekiranya aspek luaran menjadi pilihan rasanya baik-baik sahaja.

Kekurangan juga terletak pada ekosistem tersendiri yang konsisten. Pada yang beranggapan penggunaan yang lebih baik boleh dinikmati dengan peranti daripada ROG sendiri. Ternyata silap, sebabnya ia memerlukan dua aplikasi yang berbeza untuk penggunaan yang menyeluruh. Pengalaman ini adalah sama seperti anda menggunakan fon telinga ini pada peranti pintar jenama lain.

Tapi seperti biasa, setiap manusia mempunyai minat yang berbeza terhadap sesuatu produk. Mungkin ada di antara yang anda yang beranggapan ianya menarik. Tak kurang juga yang turut bersetuju dengan pendapat peribadi kami dalam artikel ulasan ini. Bagi yang berminat, fon telinga ini sudah tersedia di Malaysia menerusi pengedar sah ASUS di seluruh Malaysia.


Pro

  • Selesa di dalam telinga.
  • Hayat penggunaan yang memuaskan.
  • Lampu RGB yang menarik.
  • Kemasan pusam tidak memerangkap kotoran dengan mudah.
  • Kemampuan kalis air IPX4.

Kontra

  • Kualiti audio yang tidak memuaskan.
  • Tiada ekosistem yang tersendiri yang konsisten.
  • Harga jualan agak tinggi.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd