Rekaan Amazfit GTR 4 dan GTS 4 Diperlihatkan Dalam Imej Pengolokan

Diterbitkan pada July 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Amazfit GTR 3 dan GTS 3 telah dilancarkan sebelum ini dengan kepelbagaian ciri yang memfokuskan terhadap kesihatan serta kecergasan pengguna. Variasi baharu untuknya dijangka bakal tiba tidak lama lagi. Ia berikutan tularnya beberapa imej yang didakwa menunjukkan rekaan untuk peranti boleh-pakai berkenaan.

Bakal dikenali sebagai Amazfit GTR 4 dan GTS 4, kedua-duanya dikatakan akan mempunyai spesifikasi dalaman yang hampir sama. Tetapi berbeza untuk penampilan fizikal. Melaluinya, GTR 4 menggunakan muka jam berbentuk bulat dengan dua butang fizikal. Sementara itu, GTS 4 pula dilengkapi muka jam berbentuk segi empat dan satu butang fizikal.

Untuk spesifikasi, GTR 4 menggunakan skrin AMOLED sebesar 1.43-inci (466 X 466 piksel). Tubuh pula sejenis aloi aluminium dengan kemasan berwarna perak dan hitam. Seterusnya, tali pula boleh didapati dalam beberapa pilihan berbeza sama ada kulit, silikon atau nilon. GTS 4 pula dilengkapi skrin AMOLED sebesar 1.75-inci (390 X 450 piksel). Ia juga akan menggunakan tubuh sejenis aluminium dengan padanan dua pilihan tali sama ada silikon atau nilon.

Kedua-duanya juga akan menawarkan lebih daripada 200 pilihan muka jam terbina – ini termasuklah pilihan untuk sokongan Always-On-Display. Kemudian, ia juga mampu mengesan lebih 150 mod sukan secara automatik dengan kebolehan menganalisa senaman. Turut melengkapinya, sokongan GPS dwi-band yang menyokong kelima-lima sistem kedudukan global untuk penjejakan lebih tepat.

Selain daripada itu, ia juga akan mempunyai sensor optik PPG 4PD BioTracker 4.0 yang dipertingkatkan untuk pengesanan kadar degupan jantung lebih tepat. Kapasiti bateri pula berbeza dengan 475mAh pada GTR 4 yang boleh beroperasi hingga 12 hari. Sementara itu, GTS 4 dikatakan mampu bertahan hingga 7 hari penggunaan dengan bateri 300mAh.

komen


© Amanz / 2022 Kami