Corsair Memperkenalkan Papan Kekunci Nirwayar Mekanikal K70 Pro Mini Wireless RGB

Diterbitkan pada July 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Corsair ialah sebuah jenama perkakasan dan aksesori komputer yang tidak asing lagi, dan kini mereka telah memperkenalkan komputer riba terbaru mereka yang dinamakan Corsair K70 Pro Mini Wireless RGB.

Papan kekunci ini hadir dengan rekaan 60% untuk mereka yang lebih gemar menggunakan papan kekunci yang kecil untuk memberi ruang yang lebih besar untuk tetikus digerakkan diatas permukaan meja.

Dari segi pilihan suis, papan kekunci ini hadir dengan pilihan suis mekanikal Cherry MX Red ataupun Cherry MX Speed yang hadir dengan jangkahayat 100 juta tekanan, dan lebih menarik lagi, papan kekunci ini juga hadir dengan ciri hotswap dimana suis-suis ini boleh dicabut dan ditukar dengan suis-suis lain sekiranya diingini.

Corsair K70 Pro Mini Wireless ini juga hadir dengan fungsi sambungan nirwayar, iaitu Bluetooth dan juga teknologi sambungan nirwayar mereka sendiri, iaitu Sleepstream Wireless yang menjanjikan sela-masa input yang paling rendah, khusus untuk mereka yang mahukan prestasi terbaik pada papan kekunci mereka dan juga mahu memastikan meja mereka kemas daripada kabel.

Ia juga hadir dengan sistem pencahayaan RGB terbina juga bagi mereka yang sukakan lampu berwarna-warni pada aksesori-aksesori komputer mereka yang boleh diubahsuai warna dan corak pencahayaan menggunakan perisian Corsair iCue yang terbina.

Corsair juga mengatakan bahawa papan kekunci ini hadir dengan jangkahayat bateri 32 jam apabila digunakan sepanjang masa dengan lampu RGB terpasang, dan mempunyai jangkahayat yang lebih lama apabila digunakan tanpa pencahayaan tersebut.

Buat masa ini, Corsair masih belum mengumumkan bilakah papan kekunci ini akan dijual, mahupun tanda harganya.

komen


© Amanz / 2022 Kami