Cari @ Amanz

MySejahtera merupakan salah satu aplikasi yang digunakan ramai dalam pelbagai urusan berkaitan kesihatan disebabkan oleh penularan Covid-19 sejak 2020 lepas. 

Namun, sejak sebulan dua ini, ia telah mula jarang digunakan oleh orang ramai kerana tidak perlu daftar masuk lokasi. Tetapi, pihak pembangun MySejahtera tidak membiarkannya begitu sahaja, dan kini dilihat telah memulakan evolusi seterusnya aplikasi tersebut sebagai pasport kesihatan.

Melalui kemaskini MySejahtera untuk iPhone yang mula diedarkan bermula hari ini, ia membawakan perubahan pada rekaan antaramuka. Rekaan ikon lebih diperkemas dengan warna biru selari, disamping turut menambah sebuah navigasi utama baharu memfokuskan rekod kesihatan.

Pada tab khusus tersebut, pengguna boleh melihat rekod kesihatan mereka, termasuk seperti kadar BMI, jenis darah, selain beberapa laporan kesihatan dan ujian makmal. Rekod vaksinasi juga turut dipaparkan melalui tab berkenaan.

Perubahan ini juga memperlihatkan evolusi MySejahtera sebagai pasport kesihatan para pengguna, selain mungkin memudahkan pelbagai urusan jikalau mengalami kecemasan.

Bagi pengguna iPhone, anda sudah boleh mengemaskini aplikasi MySejahtera, dan menikmati ciri baharu ini. Kemaskini sama untuk Android dijangka menyusul tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd