Intel Memperlihatkan Kad Grafik Intel Arc A770 – Hanya Setaraf NVIDIA GeForce RTX 3060 Ti

Diterbitkan pada July 18, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada minggu ini, Intel telah memperlihatkan dua daripada kad grafik terbaru mereka untuk komputer desktop, termasuklah Intel Arc A750 dan juga Intel Arc A770 melalui laman YouTube Gamers Nexus dan juga Linus Tech Tips.

Kedua-dua kad grafik ini dilihat hadir dengan rekaan yang hampir sama, cuma Arc A770 menggunakan palam enam dan lapan pin PCIe berbanding dengan A750 yang menggunakan satu palam lapan pin sahaja.

Menariknya, sebuah slaid pembentangan dengan senarai perbandingan kad-kad grafik ini juga telah tertiris melalui WCCF Tech, yang memperlihatkan kad grafik Intel Arc A770 ini hadir dengan prestasi dan juga tanda harga sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 Ti yang dilancarkan pada penghujung tahun 2020.

Melalui slaid tersebut lagi, kad grafik ini juga akan hadir dengan dua konfigurasi memori GDDR6 sebanyak 8GB ataupun 16GB. Kad grafik ini dijangka boleh menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi Full HD ke 2K dengan kadar segar semula tinggi pada tetapan sederhana dan tinggi.

Dalam pada itu, Intel juga telah menidakkan sebarang berita mengenai kad grafik Intel Arc A780 yang sepatutnya dilihat menjadi kad grafik kelas mercu Intel Arc Alchemist dengan prestasi yang dikatakan sebelum ini sekitar sebuah NVIDIA GeForce RTX 3070.

Buat masa ini ia masih tidak diketahui bilakah Intel akan melancarkan kad-kad grafik ini, khususnya apabila AMD dan NVIDIA dijangka akan memperlihatkan penawaran baru mereka pada penghujung tahun ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami