Ulasan Xiaomi Smart Band 7 – Apa Sudah Jadi Dengan Mi Band?

Diterbitkan pada July 19, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Adakah memakai penjejak kesihatan dalam bentuk gelang seperti Huawei Band, Xiaomi Smart Band atau Samsung Galaxy Fit2 satu pilihan bijak kalau jam tangan pintar asas pun sudah mempunyai banyak ciri dan fungsi menarik dan berguna untuk pengguna memantau kesihatan dan melihat perjalanan aktiviti sukan pengguna.

Mungkin penggunaan gelang tangan pintar ini sesuai kalau ingin sesuatu ringan di tangan, rosak boleh beli baru tanpa menangis kerana kerugian, atau mungkin juga selesa untuk pakai 24 jam kerana ia kecil dan lebih selesa untuk mereka yang tidur lasak tanpa risau akan rosakkan skrin. Dalam artikel ini, akan saya kongsi pengalaman penggunaan Xiaomi Smart Band 7 selama beberapa minggu sebagai jam harian saya. Saya turut akan beri pendapat sama ada adakah produk ini berbaloi untuk dimiliki dan patut ke naik taraf dari Xiaomi Smart Band 6?


Spesifikasi

Xiaomi Smart Band 7 tidak mempunyai banyak perubahan dengan Xiaomi Smart Band 6. Beza paling ketara adalah pada saiz skrin, tetapi jika diletak secara bersebelahan sukar untuk melihat beza di antara kedua penjejak kesihatan ini. Model baharu ini menggunakan skrin AMOLED dengan saiz 1.62-inci dengan sokongan kecerahan sehingga 500 nits dan turut menyokong ciri Always-on display. Xiaomi juga menambah lebih 100 muka jam berbanding sebelum ini yang ada lebih 60 sahaja.

Beza seterusnya adalah pada bateri. Dengan skrin lebih besar dan sokongan AOD, bateri juga perlu lebih besar dengan kapasiti kali ini adalah 180mAh dengan janji bertahan sehingga 15 hari penggunaan ringan dan 9 hari penggunaan berat. Versi ini turut mempunyai 120 mod sukan, menyokong pemantauan SpO2 secara berterusan, menambah sokongan kiraan VO2 Max, ada sistem pemberitahuan untuk senaman aerobik dan anaerobik, boleh memberi masa untuk pemulihan serta memuat jenis latihan

Lain-lain adalah sama sahaja dan tidak ada beza lain. Kawalan juga adalah sama, iaitu sentuhan sepenuhnya dengan gestur jari. Muka jam boleh diubahsuai untuk menambah widget sendiri seperti jumlah tapak, status bateri dan sebagainya bergantung pada muka jam yang digunakan. Ia boleh dikatakan seakan Complications pada Apple Watch.

Seperti Xiaomi Smart Band 6, model ini turut tidak memerlukan pengguna mengeluarkan jam dari tali jam dan boleh terus cas melalui kabel magnetik yang mudah digunakan. Tali jam juga kekal selesa dan tidak menyebabkan kulit tangan gatal, dan yang paling penting ia boleh dibawa untuk berenang kerana mempunyai perlindungan air 5ATM.

Pengalaman Penggunaan

Sebelum saya bekerja di Amanz, saya sudah menggunakan pelbagai variasi Xiaomi Smart Band, ketika itu produk ini masih digelar sebagai Mi Band. Dari versi tanpa skrin dengan lampu LED sahaja, versi skrin mono, skrin OLED berwarna dengan butang dan versi skrin penuh. Sejak ada skrin, perubahan utama adalah dari segi kawalan sahaja – sama ada melalui butang atau gestur sentuhan skrin. Jadi saya tidak terasa asing menggunakan Xiaomi Smart Band 7 ini, walaupun skrinnya lebih besar.

Ia masih mudah untuk digunakan, kawalan juga ringkas dengan satu tatalan pada setiap bahagian seperti ke bawah untuk notifikasi, ke atas untuk talam aplikasi dan ke sisi untuk melihat akses aplikasi kegemaran dengan data dipaparkan. Ia lancar dan baik sahaja, tiada masalah lengah masa atau tersangkut, tiada masalah menambatkan peranti ke telefon serta turut tidak mempunyai masalah dalam pemantauan data.

Xiaomi menambah banyak mod sukan dan fungsi memantau kesihatan, tetapi yang banyak saya gunakan adalah untuk memantau jantung dan tidur. Data yang diperoleh jika dibandingkan dengan Apple Watch, ada sedikit masalah. Xiaomi Smart Band 7 memaparkan data yang jauh berbeza dengan Apple Watch Series 7. Apple Watch saya boleh sahkan mempunyai data lebih kurang sama dengan TicWatch Pro 3 Ultra. Ini bermakna, pemantauan jantung bukan satu kekuatan pada gelang ini.

Untuk tidur, aneh sekali ia lebih kurang sama. Jadi apa yang boleh saya simpulkan adalah – hanya untuk jantung Xiaomi Smart Band mempunyai sedikit masalah. Penggunaan aplikasi seperti SpO2, uji tekanan dan aplikasi lain ia berjalan dengan lancar sahaja. Kawalan muzik juga pantas, tetapi yang perlahan adalah kawalan kamera.

Sepanjang beberapa minggu penggunaan, saya menggunakan produk ini bersama iPhone dan ia mempunyai pengalaman penggunaan yang saya boleh terima jika saya ingin jadikan Xiaomi Smart Band 7 sebagai satu penjejak kesihatan sandaran.

Bateri Tahan Ke?

Dengan mengaktifkan Always-on Display, sentiasa menerima notifikasi dan menggunakan ketika tidur untuk pemantauan 24 jam – Xiaomi Smart Band 7 saya dapati boleh bertahan sehingga 4 hari maksimum sahaja. Saya langsung tidak dapat ketahanan 9 hari seperti yang dijanjikan. Ini bermakna, produk ini perlu dicas setiap 4 hari dan tidak lagi bertahan sekitar seminggu seperti model lama. Skrin besar, AOD dan pemantauan sepanjang masa menggunakan kuasa yang banyak dan peranti sekecil ini bukan pilihan terbaik untuk menggunakan kesemua ciri canggih.

Pengecasan magnetik yang diberikan amat mudah, kerana peranti tidak perlu dikeluarkan dari tali jam. Tetapi ia masih tidak begitu pantas dan mengambil masa lebih satu jam. Ia juga kabel yang pendek dan kecil yang saya yakin akan mudah hilang.

Apa Boleh Buat Dengan Aplikasinya?

Xiaomi Smart Band 7 boleh digunakan bersama dengan dua aplikasi, iaitu Mi Fitness (nama lama Xiaomi Wear Lite) dan Zepp Life (nama lama Mi Fit). Kedua-dua aplikasi ini menggunakan antaramuka lebih kurang sama sahaja. Walaupun ia boleh menggunakan dengan Zepp Life, ia tidak boleh digunakan dengan aplikasi Zepp – kerana itu khusus untuk produk Amazfit sahaja.

Aplikasi yang saya gunakan adalah Zepp Life, pada saya ia baik sahaja. Tetapi sedikit serabut dan tidak tersusun. Misalnya peranti pada skrin utama ia tidak nampak kemas dengan paparan cards yang mempunyai saiz berlainan serta grafik yang mengelirukan. Saya rasakan ini boleh diubah dengan susun dalam bentuk tiles dan juga cards dan pengguna boleh susun dengan cara drag and drop. Bahagian Workout untuk jalan, berlari dan berbasikal mempunyai antaramuka terbaik.

Lain-lain masih mirip dengan Mi Fit sebelum ini, cuma tidak pasti kenapa boleh ada dua aplikasi boleh digunakan. Adakah Xiaomi kelak akan menggunakan sistem Zepp terus?

Pesaing

Xiaomi Smart Band 7Huawei Band 7
Skrin1.62-inci, AMOLED
152 x 486 piksel
1.47 inci, AMOLED
194 x 368 piksel
Sistem OperasiTersendiriTersendiri
Perlindungan5 ATM5 ATM
Bateri180mAhTidak dinyatakan
SensorSensor 6-paksi
Sensor imbasan nadi PPG
SpO2
GPS bersambung dengan peranti
Sensor pemecut
Sensor giroskop
Sensor pengimbas nadi optikal
PengecasanPengecas magnetikPengecas magnetik
Ketahanan Bateri9-14 hariSekitar 14 hari
HargaRM199RM219

Kesimpulan

Dengan harga jam tangan pintar sudah semakin mampu milik dan lebih banyak jenama mula menawarkan iterasi masing-masing, penggunaan penjejak kesihatan dalam bentuk gelang seperti ini mungkin bukan lagi pilihan ideal. Ia bukan satu produk yang tidak baik, cuma banyak sangat ciri dan kekurangan membuatkan penggunaan jam tangan pintar asas mungkin kini lebih baik.

Tetapi jangan pula cari yang terlampau asas, di mana ciri dan fungsi seakan Mi Band tetapi skrin sahaja saiz seakan jam. Saya sukar untuk mencadangkan Xiaomi Smart Band 7 kepada orang ramai, tetapi apa lagi pilihan yang ada untuk pengalaman penggunaan yang baik pada harga bawah RM200? Saya rasa Xiaomi sahaja yang masih menawarkan produk seperti ini.

Apa yang saya tidak sabar untuk uji adalah Xiaomi Smart Band 7 Pro. Ia hadir dengan skrin besar, rekaan lebih premium dan tali jam yang berlainan. Ia lebih dekat dengan Huawei Band 7 yang pada saya mungkin ada potensi untuk menjadi pengganti penjejak kesihatan dalam bentuk gelang dan mendominasi pasaran peranti boleh pakai untuk pengguna yang baru nak mula. Harga RM199 masih lagi dikira mampu, cuma baik simpan dan tunggu versi Pro yang dijual pada harga bawah RM300 di China.


Pro

  • Skrin lebih besar, lebih cantik dan lebih jelas
  • Lebih banyak mod sukan yang boleh dipilih
  • Pelbagai aplikasi tambahan yang boleh guna untuk pantau data

Kontra

  • Masih rekaan sama
  • Bateri tidak tahan lama
  • Skrin terlampau sensitif kerap tersentuh tetapan muka jam
  • Data jantung tidak begitu tepat

komen


© Amanz / 2022 Kami