Cari @ Amanz

HP Malaysia telah mengesahkan bahawa mereka akan membawa masuk komputer riba kreatif profesional paling premium mereka, HP ZBook Studio G9 sekitar bulan Julai ini.

Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin IPS HP DreamColor bersaiz 16 inci dengan resolusi sehingga 4K dan kadar segar semula setinggi 120Hz. Paparan ini juga boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan mempunyai nilai kecerahan 500 nit.

Komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Alder Lake yang terbaru, pilihan memori DDR5 sehingga 64GB dan juga penawaran storan SSD NVMe PCIe 4.0 sebesar 4TB yang cukup besar untuk projek-projek kreatif profesional yang secara lazimnya memerlukan saiz fail yang besar untuk tujuan olahan video ataupun grafik 3D yang beresolusi tinggi.

Dari segi kad grafik pula, HP ZBook Studio G9 ini dilihat akan menawarkan pilihan kad grafik NVIDIA RTX A5500 ataupun NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti yang sangat berkuasa bukan sahaja untuk tujuan gaming, tetapi juga untuk mengolah objek 3D, imej dan juga video beresolusi tinggi.

Dengan penggunaan cip pemprosesan Intel Alder Lake, komputer riba HP ZBook Studio G9 ini juga tampil dengan ciri-ciri baru seperti WiFi 6E dan Thunderbolt 4. Komputer riba ini juga tampil dengan bateri bersaiz 86Wh yang hadir dengan fungsi pengecasan pantas, dimana 50 peratus bateri komputer riba ini boleh dicas dalam 30 minit sahaja.

Bagi anda yang mementingkan kualiti audio pada komputer riba anda, HP ZBook Studio G9 ini juga dimuatkan dengan pembesar suara Bang & Olufsen di bahagian sisi komputer riba ini yang menjanjikan pengalaman mendengar yang cukup mendalam, tidak kira anda sedang menonton video ataupun mendengar lagu.

HP Malaysia mengatakan bahawa HP ZBook Studio G9 ini akan ditawarkan bulan ini, pada harga yang akan ditetapkan kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd