Jika sebelum ini kami telah menerbitkan artikel ulasan untuk Poco X4 5G. Kini, tiba giliran untuk Poco F4 5G pula yang merupakan sebuah peranti kelas pertengahan menerusi penggunaan cip Snapdragon 870. Ini adalah cip yang sama digunakan pada model terdahulu iaitu Poco F3 yang pernah kami menganggapnya sebagai pembunuh peranti mercu generasi baharu pada waktu itu.
Bagaimanapun, terdapat beberapa perubahan yang turut dilakukan dan paling ketara terletak pada konfigurasi kamera utama, kapasiti bateri dan sistem pengecasan yang disokong. Dengan kesemua ini, adakah berbaloi untuk anda menaik-taraf atau mencari alternatif lain yang lebih baik? Ikuti perkongsian ulasan kami.
Spesifikasi Peranti
POCO F4 5G | |
---|---|
Skrin | 6.67-inci AMOLED, 120Hz, HDR10+, 1300 nits 1080 x 2400 piksel Gorilla Glass 5 |
Pemproses | Snapdragon 870 (7nm) |
Cip | 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 |
Cip Grafik | Adreno 650 |
RAM | 6/8GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 64-Megapixel (utama) (OIS) 8-Megapixel (Ultra-lebar) 2-Megapixel (makro) |
Kamera Swafoto | 20-Megapixel |
Bateri | 4,500 mAh Pengecasan berwayar 67W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP53 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi Imbasan wajah |
Harga Jualan | Bermula dari RM1599 |
Saiz dan jenis skrin yang digunakan pada peranti ini adalah sama seperti model sebelum ini. Ia sejenis AMOLED sebesar 6.67-inci dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, beresolusi FHD+ dan paparan HDR10+. Skrin rata dikekalkan dengan kewujudan lubang kecil untuk peletakan kamera swafoto. Pengalaman penggunaan dirasakan baik melaluinya kerana kesemua permukaan skrin boleh digunakan.
Pada masa yang sama, pengalaman menonton video juga terasa menyeronokkan tanpa masalah tontonan yang aneh. Misalnya skrin melimpah ke bahagian sisi seperti yang sering berlaku pada peranti dengan skrin dwi-lengkung. Tubuh pula kini berkotak dengan kemasan glossy yang seolah-olah menggunakan bahan berasaskan kaca yang menarik.
Pemproses Snapdragon 870 digunakan dengan gabungan memori sehingga 8GB RAM yang berasaskan LPDDR5. Sementara itu, kapasiti storan dalaman pula mencapai 256GB berasaskan UFS 3.1 yang membolehkan peranti berfungsi dengan baik. Bagaimanapun, tiada sokongan untuk ruang kad microSD di sini memerlukan pengguna untuk bijak memilih storan bergantung pada penggunaan masing-masing.
Turut melengkapi peranti ini adalah bateri berkapasiti 4,500mAh. Ia sedikit kecil berbanding model terdahulu, tetapi sistem pengecasan dipertingkatkan dengan kuasa ouput 67W. Kepala pengecas turut diberikan secara percuma bersama kabel dengan sambungan USB-A ke USB-C berwarna putih.
Bagi yang bertanya mengenai sokongan pengecasan nirwayar, ia sama sekali tidak disokong oleh peranti ini. Lain-lain spesifikasi yang turut dimuatkan pada peranti ini termasuklah pengimbas cap jari sisi, sistem imbasan wajah berasaskan AI.
Kamera utama menggunakan sistem tri-kamera dengan konfigurasi 64-Megapixel untuk sensor utama yang turut menyokong OIS. Ia dilihat lebih baik berbanding pendahulunya yang menggunakan sensor 48-Megapixel. Seterusnya ia turut dipadankan dengan sensor ultra-lebar 8-Megapixel dengan darjah pandang mencapai 119 darjah. Akhir sekali, sensor makro turut dikekalkan dengan konfigurasi 2-Megapixel yang dilihat lebih kecil berbanding 5-Megapixel pada Poco F3.
Kesemua sensor ini dimuatkan dalam bonggol kamera berbentuk segi empat dalam susunan membulat. Kamera swafoto pula sebesar 20-Megapixel yang boleh digunakan untuk tangkapan selfie dan panggilan video. Kemampuan kamera boleh mengambil gambar pada nisbah 4:3, 16:9 dan penuh.
Pada tetapan tertinggi video boleh dirakam pada resolusi 4K dengan pilihan 30/60fps. Beberapa fungsi tambahan terbina turut disediakan oleh Poco menerusi aplikasi kamera untuk penghasilan foto dan video yang pelbagai.
Pada sisi kanan terdapatnya butang kuasa dan laras yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Selain daripada itu, ia turut boleh digunakan untuk melakukan tangkap layar apabila ditekan sebanyak dua kali. Bersama-sama dengannya ia turut memuatkan butang untuk laras audio. Sisi kiri pula dilihat kosong tanpa sebarang butang atau lubang. Bergerak ke bawah pula adanya talam SIM dan tidak menyokong kad microSD, sambungan USB-C dan pembesar suara dengan sistem audio stereo.
Sebuah lagi pembesar suara boleh ditemui pada ganggang telefon di bahagian skrin. Seperkara yang masih tidak disertakan adalah bicu audio 3.5mm yang mana turut sama berlaku pada model sebelum ini. Hal ini sekaligus akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna yang bergantung dengan fon telinga berwayar.
Pengalaman Penggunaan
Pada kami, Poco F4 5G mempunyai tubuh yang selesa untuk dipegang, tetapi sangat mudah memerangkap kotoran cap jari. Unit ulasan yang kami terima berwarna hitam dengan gaya lebih sederhana dan selesa. Rekaan berkotak yang digabungkan dengan sisi yang dibulatkan membuatkan peranti ini terasa selesa dipegang walaupun mempunyai saiz tubuh besar. Poco turut memberikan kerangka lut sinar yang bertekstur kasar bagi menambah keselesaan. Seterusnya, setiap butang dan port juga diletakkan pada kedudukan ergonomik yang mudah dicapai.
Kesemua butang yang disertakan diperbuat daripada logam dengan binaan kukuh, pada masa sama ia juga tidak menyakitkan jari sewaktu ditekan. Kemampuan skrin juga baik tanpa keperluan untuk kami mengubah tahap kecerahan dengan kerap. Ia terang meskipun digunakan di bawah cahaya matahari terang secara langsung.
Pengalaman menonton video dan bermain permua terasa seronok menerusi skrin sejenis rata. Kemampuan kadar segar semula yang disertakan juga berfungsi dengan baik. Skrin juga memaparkan pergerakan yang lancar tetapi pada waktu yang sama mampu mengurangkan penggunaan bateri kerana kadar segar semula diubah secara dinamik.
Perisian yang digunakan adalah MIUI 13.0.4 for Poco dengan sistem operasi Android 12. Antara-muka mungkin sedikit mengelirukan bagi mereka yang tidak pernah menggunakan MIUI. Ia juga tampak menonjol dengan warna ikon yang terang. Turut kelihatan, terdapatnya elemen iOS yang digunakan dalam rekaannya. Sejumlah ciri tambahan turut dimuatkan seperti talam aplikasi, mod satu tangan, pelbagai gerak isyarat untuk pintasan dan sebagainya. Aplikasi gendut juga masih kelihatan dengan beberapa aplikasi pihak ketiga yang didatangkan secara terbina.
Secara keseluruhannya, ia tampak kemas tetapi perisian ini masih tidak begitu baik untuk penggunaan yang memuaskan. Pepijat yang ditemui juga mengakibatkan gangguan yang kurang senang. Misalnya seperti sambungan data mudah alih yang kerap terputus dan fungsi hotspot yang gagal berfungsi dengan baik untuk sesetengah keadaan. Seperkara lagi yang kami perasan, aplikasi muzik pada MIUI 13 kini mempunyai sokongan untuk JOOX secara terbina. Bagaimanapun, ia dilihat memaparkan antaramuka yang berbeza dengan aplikasi JOOX asal.
Penggunaan cip yang berusia hampir setahun langsung tidak memberi isu pada peranti ini. Ia juga masih berkuasa dengan kebolehan prestasi pada di tahap memuaskan. Kami juga tidak berhadapan dengan isu lengah masa yang teruk sepanjang menggunakannya sebagai peranti harian. Melancarkan aplikasi juga terasa pantas dengan peralihan animasi yang lancar. Dalam masa sama, tiada isu panas melampau yang ditemui, malahan pengeluaran haba adalah baik dengan rasa suam yang boleh diterima. Ini mungkin disebabkan oleh sokongan sistem penyejukan terbina yang digunakan berfungsi dengan baik.
Prestasi kamera adalah sederhana. Ia mampu berfungsi dengan baik dalam pencahayaan yang cukup. Penghasil semua gambar juga tampak menarik dengan warna yang bermaya. Bagaimanapun, ia tidak konsisten kerana adakala gambar diambil mempunyai warna yang terlalu tepu, sekaligus mengakibatkan butiran dan perincian hilang. Keadaan yang sama turut berlaku pada gambar yang diambil menggunakan kamera ultra-lebar. Tidak konsisten dan sesetengah keadaan menunjukkan hasil yang tidak begitu tajam dan kelihatan lembut.
Poco turut menawarkan mod malam terbina pada aplikasi kamera untuk tangkapan pada waktu malam lebih baik. Hasilnya mungkin tidak sempurna tetapi masih boleh diterima untuk peranti dengan julat harga sebegini. Sedikit suntingan boleh dilakukan pada gambar bagi menjadikannya tampak lebih menarik untuk perkongsian di media sosial. Seterusnya, Kamera makro 2MP pula tidak ada yang istimewa dengan hasil yang kurang memuaskan. Akhir sekali, hasil gambar swafoto juga baik dengan penghasilan semula tona warna kulit ke arah semula jadi. Turut disertakan mod kecantikan terbina yang boleh diubahsuai mengikut keperluan pengguna sendiri.
Bateri 4,500mAh yang disertakan mampu berfungsi dengan baik untuk penggunaan harian. Seperti biasa, ketahanan bateri pada sesuatu peranti adalah bergantung kepada corak penggunaan masing-masing. Dengan satu pengecasan penuh, peranti pintar ini boleh bertahan mencapai 7 jam SOT untuk penggunaan biasa. Ketahanan ini bagaimanapun sedikit berkurang untuk penggunaan yang ekstrem tetapi masih baik-baik sahaja. Ia juga sebenarnya boleh bertahan sehari suntuk dengan penggunaan berkala. Proses pengecasan semula boleh boleh dilakukan sepenuhnya dalam hanya 1 jam dan 10 minit menerusi pengecas 67W.
Lain-lain prestasi seperti kemampuan audio mempunyai lontaran bunyi yang lantang tetapi tidak seimbang. Pengalaman akan menjadi lebih baik dengan penggunaan fon telinga. Untuk makluman, pembesar suara ini turut di tala oleh Dolby Atmos dan menyokong audio Hi-Res. Pengimbas cap jari juga mampu berfungsi dengan baik, dalam masa sama sistem imbasan wajah turut disertakan untuk proses menyahkunci peranti lebih pantas.
Pesaing Setara
Poco F4 5G | BlackShark 5 | Realme GT Neo3 |
6.67″ AMOLED, 120Hz, 1080 x 2400 piksel | 6.67″, AMOLED, 144Hz, 1080 x 2400, (~395 ppi) | 6.7″ AMOLED, 120Hz,1080 x 2400, HDR10+ |
Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 | Snapdragon 870 (7nm) 1 x 3.2 GHz Kryo 585 3 x 2.42 GHz Kryo 585 4 x 1.80 GHz Kryo 585 | Dimensity 8100 (5nm) 4 X 2.85 GHz Cortex-A78 4 X 2.0 GHz Cortex-A55 |
Adreno 650 | Adreno 650 | Mali-G610 MC6 |
6/8GB LPDDR5 | 8/12 GB LPDDR5 | 8GB LPDDR4X |
128/256 GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 | 256 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama 64-Megapixel (utama) (OIS) 8-Megapixel (Ultra-lebar) 2-Megapixel (makro) | Kamera Utama 64-Megapixel (utama) 13-Megapixel (Ultra-lebar) 5-Megapixel (makro) | Kamera Utama 50-Megapixel (utama) (OIS) 8-Megapixel (Ultra-lebar) 2-Megapixel (makro) |
Kamera Hadapan 20-Megapixel | Kamera Hadapan 20-Megapixel | Kamera Hadapan 32-Megapixel |
IP53 | Tiada kalis air | Tidak kalis air |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4,500 mAh Pengecasan berwayar 67W | 4,650 mAh Pengecasan pantas 120W | 5,000 mAh Pengecasan berwayar 80W |
RM1599 (6GB/128GB) RM1699 (8GB/256GB) | RM2,299 (8/128GB) RM2,699 (12/256GB) | RM2,099 (8/256GB) |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia:
- 1x Poco F4 5G.
- 1x Kerangka silikon.
- 1x Pengecas 3 pin 67W.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual.
- 1x Dongel.
Kesimpulan
Poco F4 5G adalah sebuah peranti dengan kemas-kini kecil daripada model terdahulu. Penambah-baikan berkenaan terletak pada kamera utama yang kini menyokong sensor 64MP dan sistem pengecasan yang lebih baik meskipun kapasiti bateri sedikit kecil. Bagaimanapun, penggunaan cip yang sama telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pengguna, khususnya pemilik Poco F3 yang merasa tiada keperluan untuk menaik-taraf. Bagaimanapun, pilihan Poco masih memberikan impak positif yang menunjukkan cip ini cukup berkuasa untuk penggunaan peranti yang baik. Ia juga mampu menggerakkan pelbagai jenis permua tanpa masalah melampau.
Dalam masa sama, peranti dengan cip sebegini juga masih berbaloi untuk dimiliki pada ketika ini. Kesimpulannya di sini, beli sekiranya anda sudah sedia biasa dengan antara-muka MIUI kerana perisian sedikit mengelirukan untuk pengguna baru. Kemudian, ia juga mempunyai ketahanan bateri yang baik di mana sesuai untuk penggunaan panjang. Tetapi, ia dirasakan tidak sesuai untuk para pencipta kandungan yang sering memuat-naik gambar menarik untuk perkongsian pengikut di media sosial. Sebabnya prestasi kamera sekadar sederhana.
Pro
- Pengalaman penggunaan yang selesa.
- Prestasi mantap dengan pengaliran haba yang baik.
- Ketahanan bateri yang memuaskan.
- Sistem pengecasan pantas yang dinaik-taraf.
- Harga mampu milik.
Kontra
- Antara-muka kemas tetapi agak mengelirukan buat pengguna baru.
- Kemampuan kamera sekadar sederhana.
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Tiada ruang kad mikro-SD.