Cari @ Amanz

Semalam kami telah melaporkan bahawa permintaan untuk cakera keras telah menurun dengan mendadak pada skala global, tidak kira sektor penggunaannya. Terkini, di acara What’s Next Western Digital Event, jenama storan Western Digital nampaknya terus mara ke hadapan dengan penawaran storan baru.

Syarikat tersebut memperlihatkan kemaskini kepada tiga model storan mereka, iaitu WD Red Pro, WD Purple Pro dan WD Gold dengan memperkenalkan pilihan storan 22TB pada ketiga-tiga model ini. Untuk WD Red Pro, ia secara lazimnya digunakan untuk peranti storan NAS bagi mereka yang mahukan pengawalan lebih selamat untuk data penting.

WD Purple Pro pula dimanfaatkan untuk tujuan pengawasan, khususnya apabila kamera yang boleh merakam video pada resolusi tinggi digunakan secara lebih meluas. Storan ini dilihat boleh menyimpan rakaman resolusi tinggi beberapa kamera sekaligus, disamping membolehkan rakaman sedia ada distrim pada resolusi tinggi tersebut pada masa yang sama.

WD Gold pula ialah cakera keras yang dibina khusus untuk pusat data yang rata-rata menyimpan jumlah data yang sangat besar sekali, dan dengan pilihan storan baru ini, boleh dimanfaatkan dengan penggunaan ruang yang lebih sedikit, tetapi jumlah penawaran storan yang lebih banyak.

Kesemua storan-storan baru yang diperlihatkan ini hadir dengan kadar penggunaan MTBF (Mean Time Before Failure) setinggi 2.5 juta jam.

Western Digital mengatakan bahawa storan-storan ini sudah mula diperkenalkan di pasaran-pasaran terpilih sejak bulan Jun tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd