Kaca Mata AR Google Kini Bersedia Untuk Diuji Di Luar Makmal

Diterbitkan pada July 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kaca mata pintar yang paling popular dulu adalah Google Glass. Ketika kaca mata ini dikeluarkan, penggunaan realiti mata dan realiti terimbuh masih belum popular lagi dan Google Glass boleh dikatakan diperkenalkan awal pada masa yang belum boleh diterima orang ramai dan sesuai.

Harga jualan Google Glass juga amat mahal, sehinggakan produk ini dihentikan dan ditujukan kepada pengguna perusahaan sahaja. Google Glass mampu memaparkan arahan selok-belok, notifikasi peranti, kalendar dan juga mengambil gambar dengan hanya mengenyit mata.

Juston Payne, pengurus produk Google hari ini menerbit artikel mengenai projek kaca mata baharu Google. Beliau menyatakan yang kaca mata baharu ini adalah kaca mata realiti terimbuh dan sudah memasuki fasa ujian. Kaca mata ini diumumkan ketika acara Google I/O 2022 bulan Mei lepas dan memfokuskan kepada ciri terjemahan secara masa nyata untuk melihat individu bercakap bahasa asing dan kaca mata akan memaparkan sarikata dalam bahasa yang difahami pengguna seperti Inggeris.

Ketika kaca mata diumumkan, Google hanya melakukan ujian makmal. Kini kaca mata ini akan melalui ujian di dunia sebenar untuk melihat kemampuan dan batas prestasi yang boleh dicapai. Beberapa pekerja Google dan individu yang dipercayai dipilih untuk menggunakan kaca mata ini di khalayak ramai. Fungsi fotografi dan videografi akan dimatikan, tetapi kamera terbina akan digunakan untuk membaca data seperti buku menu di restoran. Kaca mata ini juga akan hadir dengan mikrofon dan skrin pada lensa untuk paparan.

Buat masa ini, kaca mata ini masih berada di fasa ujian awal lagi. Google masih tidak pasti bila ia akan dijadikan sebagai produk untuk dijual kepada umum. Jika ia tidak mencapai standard yang Google inginkan, kaca mata ini mungkin tidak akan dijual terus. Sama-sama kita nantikan.

komen


© Amanz / 2022 Kami