Carian
Aplikasi Pelancar Android Lawnchair Didapati Mencuri Kod Pixel Launcher
July 20, 2022 Fahim Zahar

Pixel Launcher adalah pelancar yang digunakan pada peranti Google Pixel. Pelancar ini digemari ramai kerana ia ringkas, mudah digunakan, padat dengan ciri dan fungsi menarik dan mesra pengguna. Disebabkan pelancar ini eksklusif untuk digunakan pada peranti Pixel, ia tidak boleh diakses oleh pengguna peranti lain.

Oleh itu, terdapat beberapa pembangun pelancar pihak ketiga mula menawarkan pelancar dengan fungsi dan ciri lebih kurang sama agar ia berfungsi lebih dekat sebagai Pixel Launcher. Antara yang popular dan kerap digunakan adalah Lawnchair.

Lawnchair dibina berasaskan pelancar sumber terbuka Android, Launcher3. Melaluinya ciri mirip pada Pixel Launcher diintegrasikan seperti kemampuan menggunakan widget At a Glance, sokongan ikon adaptif, perkhidmatan carian bukan Google pada widget dan banyak lagi.

Terkini, seorang pembangun dalam Lawnchair telah keluar dan berhenti untuk membantu membangunkan pelancar ini. Ini adalah kerana beliau mendapati kod pembangunan Lawnchair banyak diambil secara terus daripada Pixel Launcher dan diolah semula menjadi pelancar tersendiri.

Dengan kata lain, kod dalam pelancar ini adalah kod yang diambil dari produk Google tanpa kebenaran. Mereka menggunakan kod Pixel Launcher, nyahkod dan olah semula agar pengguna peranti bukan Pixel dapat menikmati ciri dan fungsi yang sepatutnya eksklusif untuk Pixel.

Ini akan menjadi masalah undang-undang untuk sesetengah negara seperti Eropah. Kerana Eropah tidak membenarkan syarikat pesaing mengolah semula sesuatu produk syarikat lain untuk bersaing. Memandangkan majoriti pembangun Lawnchair adalah dari Eropah, ini boleh menjadi isu besar jika disedari Google.

Tidak pasti lagi apakah nasib Lawnchair selepas ini. Buat masa ini ia masih boleh digunakan pada banyak peranti Android. Adakah anda antara pengguna pelancar ini?

Komen