Carian
Pandang Pertama Nothing Phone (1) – Peranti Revolusi Yang Memikat Hati
July 21, 2022 Fahim Zahar

Dengan Nothing Phone (1) mula memasuki pasaran Malaysia, ia terus menambah penawaran peranti kelas pertengahan baharu untuk mereka yang mencari peranti dalam kelas ini. Cuma menjadi persoalan, adakah sebuah telefon pintar dari syarikat baru berbaloi untuk dimiliki? Nothing Phone (1) sudah pun tiba ke makmal Amanz dan dalam artikel ini akan saya kongsi pendapat berdasarkan pengalaman penggunaan selepas sekitar lima jum menggunakan peranti ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Nothing Phone (1)
Skrin6.55” OLED fleksibel FHD+, 2400×1080 piksel (~402 ppi)
120Hz, HDR10+,
PemprosesSnapdragon 778G+ (6nm)
Cip1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8/12 GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP Sudut Lebar f/1.88, OIS/EIS
50MP Sudut Ultra Lebar 114 darjah, f/2.2
Extreme Night Mode, HDR, Video 4K 30FPS
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.45
Bateri4500 mAh
33W PD 3.0, Berwayar (Pengecas Quick Charge 4.0 sahaja)
15W, Nirwayar
5W, Nirwayar Berbalik
SIM/TelefoniDwi SIM nano 4G
VoLTE
NFCYa
AudioTiada bicu audio
Pembesar suara stereo
Kalis AirIP53
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM2,399 (8/256 GB)
RM2,699 (12/256 GB)

Peranti menggunakan skrin yang sangat berbeza dengan kebanyakan peranti Android lain. Malah, saya rasakan ini adalah antara rekaan skrin peranti Android terbaik setakat ini. Ini kerana, Nothing menggunakan panel skrin OLED fleksibel yang membolehkan peranti mempunyai skrin rata dan bezel sekata di sekeliling mirip iPhone 12 dan iPhone 13. Saiz tubuh adalah seakan iPhone 13 Pro Max, tetapi skrin lebih kecil dengan saiz 6.55″. Skrin juga menyokong kadar segar semula 120Hz dan paparan HDR10+.

Kualiti skrin pada hemat saya adalah baik sahaja. Netflix masih tidak menyokong HDR10+. Ini memerlukan saya masa lebih untuk ujian lanjutan. 120Hz pada peranti amat memuaskan, kerana ia pantas dan lancar. Cuma sayang sekali, ia tidak menggunakan panel LTPO untuk kadar segar semula tinggi adaptif.

Untuk cip, ia menggunakan Snapdragon 778G+ dengan memori 8GB RAM dan 256GB storan dalaman. Sejam pertama penggunaan, peranti sudah mula memanas – tetapi ini standard untuk peranti kelas pertengahan Android ketika peranti baru ditetapkan. Artikel ini juga adalah pandang pertama, jadi butiran lain seperti prestasi, kualiti kamera, ketahanan bateri dan pengalaman penggunaan keseluruhan perlu mengambil sedikit masa untuk diuji.

Seterusnya adalah rekaan peranti. Ia memang mirip iPhone. Tetapi keunikan adalah pada panel belakang dengan kaca lutsinar dan mempunyai sistem LED yang lain daripada yang lain. Ia juga memperlihatkan konsep penggunaan sistem LED yang dulu pernah menjadi kebiasaan pada peranti Android untuk notifikasi. Nothing Phone (1) ada penambahan lampu LED merah untuk status rakaman video yang unik.

Nothing Phone (1) juga selesa berada di tangan, ia ringan dan rasa sedikit aneh kerana seakan memegang bongkah yang kosong di dalam. Aneh sekali peranti ini tidak licin dan berada dalam cengkaman yang baik. Di bawah ada kekisi speaker, port USB-C, ruang kad SIM dan mikrofon. Di atas ada mikrofon, di sisi kanan dan kiri ada butang kuasa dan butang aras suara. Tambahan di belakang, setiap butiran yang juga amat cantik dan sedap mata memandang.

Pengalaman Penggunaan

Nothing OS

Sistem operasi yang digunakan ini, jelas sekali mempunyai idea daripada Carl Pei sendiri. Ini kerana Nothing OS amat mirip dengan Android asli, ia seakan AOSP dengan perubahan muka taip titik matriks ikonik Nothing. Ia juga masih mengekalkan banyak elemen Android 12 yang asli, seperti rekaan talam notifikasi, rekaan antaramuka semuanya sangat ringkas dan mudah digunakan.

Nothing juga hanya menambah sedikit sahaja ciri di dalam peranti ini, seperti Game Mode, kawalan kereta Tesla, widget NFT dan mengubah talam notifikasi dengan dua ikon tetapan sambungan data dan bluetooth bersaiz besar.

Nothing OS juga bagi sesetengah orang akan rasa kosong. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah biasa menggunakan peranti keluaran China dengan tema berat seperti MIUI, ColorOS, Funtouch OS atau peranti Samsung dengan One UI. Untuk saya ia sangat menarik, kerana Oxygen OS di zaman bawah jagaan Carl Pei dan antaramuka pada Pixel adalah sistem operasi kegemaran saya.

Punyalah ringkas sistem operasi ini, aplikasi Nothing Ear (1) untuk kawal TWS mereka sendiri tidak terbina dan perlu dimuat turun dalam Play Store. Nothing hanya menambah aplikasi kamera sendiri dan aplikasi perakam suara sahaja. Lain-lain adalah aplikasi dari Google dan yang sedia terbina dalam AOSP.

Nothing menjanjikan 3 tahun kemas kini perisian dan 4 tahun kemas kini tampalan sekuriti. Dengan peranti ini dilancarkan bersama Android 12, ia akan mempunyai sokongan sehingga Android 15. Selepas itu setahun lagi untuk sekuriti dan pengguna tidak perlu risau kerana custom ROM rasmi turut akan ditawarkan.

Glyph Interface

Glyph adalah sistem pencahayaan LED yang berada di belakang peranti. Ia digunakan untuk memberitahu notifikasi masuk, nada dering menerima panggilan telefon, lampu bergerak mengikut rentak ketika memainkan semula audio dari perakam suara dan juga untuk memaparkan pergerakan lampu berbeza mengikut rentak lagu yang dimainkan.

Glyph ini boleh diubahsuai dan disesuaikan mengikut pengguna. Contohnya, Nothing menawarkan 10 nada dering dan 10 bunyi untuk notifikasi – setiap satu bunyi akan mempunyai pergerakan lampu berbeza yang boleh ditetapkan mengikut aplikasi atau kenalan.

Ini memang menarik, tetapi ia juga adalah satu masalah untuk saya. Biasanya selepas keluarkan peranti dari beg atau kocek saya akan letakkan skrin ke atas di atas meja untuk mudah lihat notifikasi. Dengan peranti ini saya perlu biasakan letak skrin ke bawah untuk lihat notifikasi melalui Glyph. Bukan itu sahaja, saya juga perlu mempelajari setiap corak lampu yang berbeza untuk tahu notifikasi untuk aplikasi apa dan dari siapa.

Cuma untuk lampu LED yang berwarna putih sahaja, sukar untuk saya kenali jika peranti dibisukan. Corak lampu juga pantas dan sukar untuk saya cam setakat awal penggunaan ini. Saya juga risau jika ada masalah LED mati nanti.

Apa ada dalam kotak?

Jika anda membeli peranti ini, berikut adalah apa yang anda akan terima dalam kotak;

  • 1x Nothing Phone (1)
  • 1x Kabel USB-C ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Buku panduan

Kesimpulan

Jika anda ingin sebuah peranti kelas kelas pertengahan premium yang ada potensi untuk bertahan sehingga empat tahun, Nothing Phone (1) adalah antara peranti yang cukup baik. Jika kita lihat pasaran peranti dalam kelas ini, Nothing Phone (1) sebenarnya agak mahal. Kerana peranti dengan cip Snapdragon 778G biasanya adalah bawah RM2000. Betul, peranti ini pertama di Malaysia dengan Snapdragon 778G+ – tetapi untuk harga permulaan RM2399 ia sukar untuk memikat hati pengguna di Malaysia yang digula-gulakan dengan peranti kelas pertengahan yang dijual pada harga sekitar RM1500.

Jika bukan kerana rekaan dan sistem Glyph, peranti ini mungkin tidak akan dibeli oleh sesiapa. Jelas di sini, Hype untuk sesebuah produk adalah penting untuk memikat hati dan untuk Nothing yang cuba memulakan kembali keseronokan melihat gajet baharu dilancarkan – saya berani katakan ini adalah langkah awal untuk mereka berjaya.

Komen