Cari @ Amanz

Siri peranti ASUS ProArt diperkenalkan untuk golongan kreatif profesional yang memerlukan kejituan warna yang terbaik disamping prestasi yang berkuasa untuk memastikan bahawa mereka boleh mencipta kandungan terbaik setiap masa.

ASUS Malaysia hari ini mengumumkan bahawa paparan skrin ASUS ProArt Display OLED PA32DC akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi untuk golongan kreatif profesional yang mementingkan perkara-perkara seperti ini dalam melakukan tugasan harian mereka.

Paparan skrin ini hadir dengan penggunaan paparan skrin OLED bersaiz 31.5 inci dengan resolusi 4K (3840×2160) yang boleh memperlihatkan 99 peratus daripada gamut warna DCI-P3 dan hadir dengan kejituan warna Delta E < 1.

Dari segi rekaan, paparan ProArt Display OLED PA32DC ini hadir dengan rekaan yang biasa sahaja dengan bingkai yang boleh dikatakan sedikit tebal berbanding dengan pelbagai paparan yang diperkenalkan di pasaran baru-baru ini.

Dari segi palam input pula, paparan skrin ini hadir dengan sokongan untuk USB-C dengan sokongan Passthrough, DisplayPort 1.4 dan juga tiga palam HDMI 2.0 yang boleh digunakan untuk menyambungkan pelbagai peranti pada paparan ini.

Kelebihan paparan skrin ini dapat diperlihatkan pada kebolehannya untuk mengolah kandungan dalam pelbagai ruang warna HDR yang membolehkan pengolah kandungan untuk menyunting kandungan untuk pelbagai situasi yang memerlukannya.

Untuk tujuan tontonan, paparan ProArt Display OLED PA32DC ini juga dilihat hadir dengan sokongan untuk DisplayHDR 400 dan boleh memperlihatkan kandungan HDR10 untuk kualiti warna dan pengalaman tontonan yang mendalam. Malah ia juga dilihat menyokong Hybrid Log-Gamma, sebuah teknologi olahan warna yang tidak memerlukan sokongan teknologi olahan warna HDR untuk memperlihatkannya.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa paparan skrin ASUS ProArt Display OLED PA32DC ini akan ditawarkan di pasaran Malaysia pada suku ketiga tahun ini, pada tanda harga yang akan ditetapkan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd