DALL.E 2 ialah kecerdasan buatan dari OpenAI yang boleh menjana gambar yang realistik berdasarkan teks yang diberikan oleh pengguna. Kemampuannya yang mengagumkan menyebakkan lebih 1 juta permohonan diterima oleh OpenAI dari orang ramai yang ingin mencubanya.
OpenAI mengumumkan DALL.E Beta kini sudah dibuka kepada pemohon dengan setiap pengguna akan menerima 50 kredit percuma untuk bulan pertama dan 15 kredit percuma setiap bulan selepasnya. Sebanyak empat gambar akan dijana oleh DALL.E Beta untuk setiap kredit atau 3 gambar sahaja jika input teks disunting.
Sekiranya kredit ini dirasakan tidak mencukupi, OpenAI menjual 460 kredit pada harga $15. Setiap imej yang dijana oleh DALL.E Beta adalah milik pengguna. Ini memberikan mereka hak untuk mengkomersialkannya.
Walaupun begitu OpenAI akan menghalang imej yang menyerupai wajah manusia yang realistik, imej selebriti atau individu terkenal dan menghasilkan imej lucah bagi mengelakkan DALL.E Beta disalahgunakan pihak tertentu. Setiap imej yang dijana akan dipantau menggunakan sistem automatik dan juga petugas manusia di OpenAI.