Nubia Z40S Pro telah dilancarkan secara rasmi sebagai model kemas kini buat Nubia Z40 Pro yang diumumkan pada suku pertama tahun ini. Penambahbaikan terletak pada penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 yang lebih baik. Dua variasi ditawarkan dengan kapasiti bateri dan pengecasan yang berbeza tanpa sebarang perubahan pada perkakasan dalaman yang lain.


Nubia Z40S Pro dilengkapi skrin 6.67-inci OLED FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Snapdragon 8+ Gen 1 digunakan dengan padanan memori sehingga 18GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB. Melengkapinya juga, sistem penyejukan terbina untuk pengaliran haba lebih baik. Terdapat dua pilihan untuk kapasiti bateri yang disokong iaitu 4600mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 120W. Sementara itu, model dengan bateri 5000mAh pula menyokong pengecasan pantas 80W.

Konfigurasi kamera utama terdiri dengan 64MP (Sony IMX788) (OIS) + 50MP (ultra-lebar + makro) + 8MP (telefoto). Sementara itu, kamera swafoto pula sebesar 16MP. Lain-lain spesifikasi termasuklah sokongan untuk Wi-Fi 6E, bluetooth 5.2, NFC, port sambungan USB-C dan banyak lagi. Di China, peranti pintar ini dijual pada harga jualan seperti di bawah:



- RMB3399 (~RM2,240) (8GB/128GB) – Nubia Z40S Pro (80W)
- RMB3699 (~RM2,438) (8GB/256GB) – Nubia Z40S Pro (80W)
- RMB3999 (~RM2,633) (12GB/256GB) – Nubia Z40S Pro (80W)
- RMB4499 (~RM2,963) (12GB/512GB) – Nubia Z40S Pro (80W)
- RMB4299 (~RM2,833) (12GB/256GB) – Nubia Z40S Pro (120W)
- RMB6699 (~RM4,415) (18GB/1TB) – Nubia Z40S Pro (120W)
- RMB4699 (~RM3,097) (12GB/256GB) – Nubia Z40S Pro (80W) Edisi Terhad