Pra-tempahan Untuk Komputer Riba MSI Dengan Cip Intel Alder Lake HX Dibuka Hari Ini

Diterbitkan pada July 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada awal tahun ini, MSI telah memperlihatkan sejumlah besar siri komputer riba gaming yang akan hadir dalam pelbagai tanda harga, dan terkini, MSI Malaysia telah membuka pra-tempahan untuk tiga daripada komputer riba paling berkuasa mereka untuk tahun ini.

Ini termasuklah MSI Titan GT77 HX, MSI Raider GE77 HX dan MSI Raider GE67 HX yang mana kesemuanya dikuasakan dengan cip pemprosesan komputer riba paling berkuasa Intel, iaitu Intel Alder Lake HX yang hadir dengan prestasi sebuah cip pemprosesan komputer desktop dan boleh dilewahjam.

Bermula dengan MSI Titan GT77 HX, komputer riba ini ialah sebuah komputer riba pengganti desktop dengan saiz yang cukup besar sekali. Ia tampil dengan paparan skrin IPS bersaiz 17.3 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz. Paparan ini juga boleh memperlihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan menjanjikan olahan warna yang jitu.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan paling berkuasa Intel setakat ini, Intel Core i9-12900HX dan hadir dengan empat slot memori yang boleh menampung sehingga 64GB memori DDR5 dan empat slot SSD NVMe PCIe 4.0 yang boleh memuatkan sehingga 2TB storan.

Dari segi pilihan kad grafik, MSI Titan GT77 HX tampil dengan dua pilihan GPU, iaitu NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti ataupun NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti. Komputer riba ini juga hadir dengan papan kekunci mekanikal terbina yang menggunakan suis yang dibina oleh Cherry, jenama terkemuka dalam dunia papan kekunci mekanikal.

MSI GE77 HX pula dilihat hadir dengan penawaran yang lebih kurang sama dengan MSI Titan GT77 HX dari segi paparan dan cip pemprosesan yang digunakan, tetapi ia juga hadir dengan pilihan resolusi paparan berbeza, iaitu resolusi 4K dengan kadar segar semula 120Hz dan QHD dengan kadar segar semula 240Hz yang dibangunkan oleh Samsung.

Seperti yang dikatakan, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i9-12900HX dan Intel Core i7-12800HX, dua slot memori DDR5 yang boleh merumahkan memori sehingga 64GB dan storan SSD NVMe PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Sama seperti MSI Titan GT77 HX juga, komputer riba MSI GE77 HX memperlihatkan penawaran NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti dan NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti. Sedikit berbeza dengan MSI Titan GT77 HX pula ialah ia menggunakan papan kekunci yang dibangunkan oleh SteelSeries.

Bagi anda yang mungkin mahukan sebuah komputer riba yang lebih padat, tetapi masih lagi merumahkan komponen-komponen dalaman yang berbisa, MSI GT67 HX mungkin untuk anda. Ia hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 15.6 inci dengan resolusi QHD dan kadar segar semula 240Hz yang merupakan diantara paparan OLED pertama dengan spesifikasi ini.

Komputer riba ini juga dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-12900HX dengan sokongan untuk memori DDR5 sehingga 64GB dan storan SSD NVMe PCIe 4.0 sebesar 1TB. Ia juga hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti yang sangat berkuasa sekali.

Kesemua komputer riba ini juga hadir dengan sistem penyejukan yang sangat berkuasa, dan juga teknologi lewahjam MSI Overboost yang membolehkan CPU komputer riba ini dilewahjam untuk pengalaman gaming yang lebih hebat lagi.

MSI Malaysia mengatakan bahawa pra-tempah untuk komputer-komputer riba ini sudah dibuka bermula hari ini sehingga 31 Julai kelak, dan pra-tempah ini akan hadir dengan kupon $100 untuk gudang permainan atas-talian Steam. Tanda harga untuk komputer-komputer riba ini adalah seperti berikut:

  • MSI Titan GT77 HX (NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti) – RM23,999
  • MSI Titan GT77 HX (NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti) – RM17,999
  • MSI Raider GE77 HX (Intel Core i9, NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti) – RM17,999
  • MSI Raider GE77 HX (Intel Core i7, NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti) – RM12,499
  • MSI Raider GE67 HX (Intel Core i9, NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti) – RM13,499

Untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana anda boleh pra-tempah komputer-komputer riba ini, anda boleh ke laman web MSI Malaysia melalui pautan ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami