Carian
Ulasan Oppo Reno8 Pro – Prestasi Fotografi Mercu Pada Peranti Kelas Pertengahan
July 25, 2022 Amy Maizuraa

Tidak dinafikan, Oppo Find X5 Pro merupakan sebuah peranti yang berkait rapat dengan prestasi kamera cukup baik. Sensor utama 50MP yang digunakan pada peranti berkenaan mampu merakam gambar dan video yang baik dalam hampir semua keadaan pencahayaan khususnya malap. Bagaimanapun, ramai yang kurang senang dengan harga jualan yang ditawarkan kerana ia dianggap terlalu mahal.

Sebagai alternatif, Oppo kini membawakan ciri berkenaan ke dalam tubuh sebuah peranti kelas pertengahan menerusi Reno8 Pro. Ia merupakan peranti kedua yang menyokong cip Marisilicon X, pada masa sama sensor utama yang digunakan pada peranti ini mempunyai DNA yang sama dengan Find X5 Pro. Namun persoalannya, adakah pengalaman sistem pengimejan yang sama turut boleh dirasai pada peranti ini? Jawapannya ada di dalam artikel ulasan ini.


Spesifikasi & Rekaan

Oppo Reno8 Pro
Skrin6.7-inci AMOLED, 120Hz, HDR10+
1080 x 2400 piksel
PemprosesMediaTek Dimensity 8100 (5nm)
Cip4 X 2.85 GHz Cortex-A78
4 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G610 MC6
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama50-Megapixel (utama) (Sony IMX766)
8-Megapixel (Ultra-lebar)
2-Megapixel (makro)
Kamera Swafoto32-Megapixel (Sony IMX709)
Bateri4,500mAh
Pengecasan berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Imbasan wajah
Harga JualanRM3499 (12GB/256GB)

Tubuh Oppo Reno8 Pro kini lebih berkotak. Ia bagaimanapun tidak menampakkan perbezaan yang ketara dengan beberapa model terdahulu. Senang kata, reka bentuk adalah sama seperti yang digunakan pada Oppo Reno6 dan Oppo Reno 7 Pro. Perubahan ketara yang dilakukan oleh Oppo terletak pada saiz skrin yang besar dan kadar segar semula lebih tinggi. Ianya bersaiz 6.7-inci dengan panel AMOLED, kadar segar semula 120Hz dan paparan HDR10+. Selain daripada itu, saiz bezel pada keempat-empat sisi juga adalah sama nipis yang membuatkannya tampak seimbang.

Kewujudan lubang pada skrin untuk peletakan kamera swafoto turut boleh ditemui. Seperkara yang kami perasan, kemasan belakang juga kini lebih licin menerusi penggunaan bahan berasaskan kaca. Tiada lagi reka bentuk berkonsepkan Oppo Glow yang digunakan, sebaliknya peranti ini tampil dengan gaya sederhana tetapi menarik. Unit ulasan kami adalah Oppo Reno8 Pro dalam kemasan berwarna Glazed Green. Sebagai pilihan, ia juga ditawarkan dalam warna Glazed Black dengan rona polos hitam yang kemas dan ringkas. Belakang peranti ini dihiasi dengan kemasan berwarna hijau berkilat secara menyeluruh.

Perubahan paling besar juga boleh dilihat pada bonggol kamera. Pada kami, elemen Contour Cut Design seperti yang digunakan pada siri Samsung Galaxy S22 sebelum ini boleh dilihat dengan jelas. Cumanya bonggol kamera pada Oppo Reno8 kelihatan lebih besar dan menonjol akibatnya peranti tidak boleh diletakkan rata walaupun dengan penggunaan kerangka. Susunan lensa juga agak unik tanpa sebarang bonggol yang timbul. Melaluinya, dua lensa bersaiz besar dipadankan dengan satu lensa kecil dalam kedudukan yang berbeza. Berhampiran kamera utama ini turut menempatkan LED Flash dalam bentuk membulat. Selain itu, terdapatnya penjenamaan ISP Marisilicon pada modul kamera bersama logo Oppo yang diletakkan pada bahagian bawah.

Cip pemprosesan MediaTek Dimensity 8100 digunakan dengan memori 12GB RAM yang berasaskan LPDDR5. Sementara itu, kapasiti storan dalaman pula 256GB berasaskan UFS 3.1. Ini adalah gabungan yang cukup baik meskipun peranti ini tidak menyokong slot tambahan menggunakan microSD. Seterusnya, bateri berkapasiti 4,500mAh yang disertakan menyokong sistem pengecasan pantas 80W. Kepala pengecas turut diberikan secara percuma bersama kabel dengan sambungan USB-A ke USB-C berwarna putih. Tiada sokongan pengecasan nirwayar masih boleh dimaafkan untuk sebuah peranti berspesifikasi pertengahan sebegini.

Kamera utama menggunakan sistem tri-kamera dengan konfigurasi 50-Megapixel (Sony IMX766) + 8-Megapixel (ultra-lebar) + 2-Megapixel (makro) dan kamera swafoto pula sebesar 32-Megapixel menggunakan sensor Sony IMX709. Kemampuan kamera mampu untuk mengambil gambar pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh. Beberapa fungsi fotografi tambahan turut disertakan bagi membolehkan rakaman gambar dan video yang pelbagai dapat dihasilkan. Antaranya seperti Pro, Extra HD, Pano, Macro, Film, Slo-Mo, Time-Lapse, Dual-View Video, Sticker, Text Scanner dan Soloop Template. Dalam mod Portrait, terdapat beberapa kesan khas yang boleh digunakan pada gambar. Pada tetapan tertinggi video pula boleh dirakam pada resolusi 4K pada 30fps dan sistem penstabilan video terbina turut disertakan.

Butang kuasa yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan. Sinonim dengan kebanyakan peranti di bawah siri Reno, butang ini didatangkan dengan perhiasan tanda berwarna hijau. Butang laras audio pula terletak pada sisi kiri. Bercakap mengenai port sambungan pula, Oppo Reno8 Pro menggunakan port USB-C yang diletakkan pada bahagian bawah peranti. Di sini juga terdapatnya ruang talam SIM dan tidak menyokong kad microSD, di samping pembesar suara dengan sistem audio stereo. Turut dimuatkan ke dalam tubuh peranti seberat 183gram ini adalah pengimbas cap jari terbina pada skrin dan imbasan wajah berasaskan AI untuk tujuan sekuriti.

Jika anda perasan, apa sebenarnya yang tidak disertakan pada peranti ini? Jawapannya adalah bicu audio 3.5mm. Ini adalah perkara yang sama berlaku pada beberapa model Reno sebelum ini seperti Reno5, Reno6 dan Reno7 Pro. Hal ini sekaligus akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna yang bergantung dengan fon telinga berwayar. Tubuh Reno8 Pro juga tidak melepasi sebarang piawaian kalis air serta debu. Keadaan ini menimbulkan ralat kerana tiada pelindungan tambahan diberikan bagi mengelakkan peranti mudah rosak jika berlalu bencana. Sedangkan terdapat sahaja jenama lain yang menawarkan ciri ini pada peranti dan turut dijual pada harga lebih rendah.


Pengalaman Penggunaan

Secara keseluruhan, reka bentuk pada peranti ini adalah baik, kemas, terasa premium dan paling penting sekali selesa dipegang. Kemasan belakang dengan rona warna serba baharu juga menjadi keistimewaan utama pada peranti. Namun begitu, panel belakang mempunyai kemasan licin yang amat mudah memerangkap kotoran. Ia amatlah licin, tetapi kami berterima kasih kepada Oppo kerana turut memberikan kerangka silikon secara percuma di dalam kotak pembungkus.

Seterusnya, gabungan skrin rata dan saiz bezel yang nipis juga membantu dalam meningkatkan lagi keluasan permukaan. Dengan skrin AMOLED dan resolusi FHD+, skrin kelihatan cantik dan tajam. Sudut pandang juga nampak baik. Penggunaan di bawah matahari terang juga memuaskan kerana kandungan skrin boleh dibaca dengan mudah. Cubaan kami menonton video di Youtube juga mendapati ia mempunyai sokongan 1080P. Kadar segar semula 120Hz yang disertakan mampu berfungsi dengan baik. Tatalan terasa lancar namun skrin ini tidak menyokong kadar segar semula adaptif yang lebih menjimatkan bateri.

Tidak dinafikan, pengguna agak skeptikal sebenarnya dengan penggunaan cip MediaTek pada sesebuah peranti pintar. Ramai yang beranggapan peranti yang dijana cip berkenaan akan berhadapan dengan isu memanas yang melampau. Ia bagaimanapun tidak berlaku pada peranti ini. Dimensity 8100- Max pada dasarnya adalah sama seperti varian standard tetapi dimuatkan dengan kemampuan AI khusus untuk prestasi keseluruhan lebih baik. Pesaing terhampir untuk cip ini adalah Snapdragon 870.

Pada kami, peranti mampu berfungsi dengan baik tanpa isu yang kronik. Dalam masa sama, tiada isu panas melampau yang ditemui malahan pengeluaran haba adalah baik. Namun begitu, markah penanda aras Antutu yang dicatatkan oleh Reno8 Pro (705,712) dilihat rendah berbanding Realme GT Neo3 (742,992) dan Poxo X4 GT (751,720) yang turut dijana cip yang sama.

Pelancar ColorOS 12.1 digunakan dan ia berasaskan Android 12. Rekaan antara muka adalah kemas dengan sentuhan cukup minimalis. Tiada perubahan mendadak, malahan boleh dikatakan mesra pengguna. Ia turut boleh dikostumasi untuk beberapa ciri seperti fungsi Always-On-Display dengan corak serba baharu, tetapan warna skrin sesuai dengan mata pengguna, animasi avatar 3D dinamakan Omoji dan ciri-ciri seperti berikut :

  • Flexible Windows – Pengalaman multitask lebih cekap menerusi tetingkap terapung.
  • Air Gestures Touchless Freedom – Sokongan gerak isyarat untuk menatal tanpa sentuh
  • Multi-Screen Connect – Sambungan berbilang peranti seperti komputer dan telefon bimbit anda dan klon peranti akan dihantar ke PC untuk akses pantas.
  • Anti-Peeping – Pemberitahuan tersembunyi apabila mengesan orang lain sedang melihat skrin peranti
  • Require Password To Power Off – Kawalan kata laluan untuk mematikan peranti.
  • Quick Return – Akses pantas untuk kembali ke mana-mana aplikasi dengan mengetik pada tetingkap kembali.
  • Quick Launch – Akses pantas ke aplikasi atau fungsi yang kerap digunakan.
  • Smart Sidebar – Aktifkan bar di sisi bagi membolehkan aplikasi dilancarkan dengan cepat.
  • Kid Space – Penggunaan akan lebih selamat untuk diakses oleh kanak-kanak.
  • Simple Mode – Teks & ikon menjadi lebih besar. Audio juga kedengaran lebih kuat.

Secara peribadi kami merasakan kualiti gambar yang mampu diambil menggunakan Reno8 Pro adalah baik dan memuaskan. Kamera utama 50-Megapixel (Sony IMX766) yang digunakan merupakan sensor yang sama digunakan pada Find X5 Pro sebelum ini. Aplikasi kamera pula mempunyai antara muka yang mudah digunakan. Setiap fungsi yang disertakan mudah diakses dan boleh diubah mengikut keperluan. Seterusnya, kualiti warna dan gambar menunjukkan hasil seumpama peranti mercu berkenaan.

Gambar menampakkan hasil yang konsisten terang dengan perincian memuaskan. Jelas kelihatan, tiada masalah dedahan melampau, malahan ia ditambah baik dengan hasil yang memuaskan. Seterusnya, penghasilan semula warna juga bermaya tanpa suntingan tambahan yang diperlukan. Sistem kecerdasan buatan AI Scene Enchancement memudahkan proses pengecaman subjek mengikut situasi kemudian mencadangkan tangkapan terbaik. Kemampuan lensa ultra-lebar juga baik dengan hasil gambar dalam pelbagai situasi yang boleh diambil tanpa masalah. Kemampuan rakaman pada waktu malam juga memuaskan. Gambar bukan sahaja lebih terang tetapi kelihatan bermaya.

Bagaimanapun komen negatif perlu kami berikan pada kemampuan portrait yang tidak boleh diubah suai pada latar belakang selepas gambar diambil. Seterusnya, tiada sokongan untuk OIS terbina merupakan isu paling ketara yang wujud pada peranti ini. Seterusnya, , sensor makro 2MP juga dianggap gimik yang murah. Kewujudannya dianggap sekadar tujuan melariskan jualan dan nilai kosmetik semata-mata. Sebab hasil gambar bukan sahaja tidak menarik, malahan butiran tidak dijaga dengan baik.

Bateri 4,500mAh yang disertakan mampu berfungsi dengan baik untuk penggunaan harian. Pengalaman kami mendapati ketahanan peranti mampu mencapai 10 jam dengan penggunaan biasa. Seperti biasa, ketahanan bateri pada sesuatu peranti adalah bergantung kepada corak penggunaan masing-masing. Peranti turut boleh bertahan sehari suntuk dengan penggunaan yang berkala. Pengecasan semula boleh dilakukan sepenuhnya dalam masa 40 minit dengan pengecas 80W.


Pesaing Setara

Oppo Reno8 Pro 5GPoco X4 GT 5GRealme GT Neo3 5G
6.67″ AMOLED, 120Hz, 1080 x 2400 piksel, HDR 10+6.6″ IPS LCD, 144Hz, 1080 x 2400 piksel, Dolby Vision, HDR106.7″ AMOLED, 120Hz,1080 x 2400, HDR10+
Dimensity 8100 (5nm)
4 X 2.85 GHz Cortex-A78
4 X 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 8100 (5nm)
4 X 2.85 GHz Cortex-A78
4 X 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 8100 (5nm)
4 X 2.85 GHz Cortex-A78
4 X 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G610 MC6Mali-G610 MC6Mali-G610 MC6
12GB LPDDR58GB LPDDR58GB LPDDR4X
256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1256 GB UFS 2.2
Kamera Utama
50-Megapixel (utama)
8-Megapixel (Ultra-lebar)
2-Megapixel (makro)
Kamera Utama
64-Megapixel (utama)
8-Megapixel (Ultra-lebar)
5-Megapixel (makro)
Kamera Utama
50-Megapixel (utama) (OIS)
8-Megapixel (Ultra-lebar)
2-Megapixel (makro)
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
20-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Tiada kalis airTiada kalis airTidak kalis air
Tiada bicu adioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4,500 mAh
Pengecasan berwayar 80W
5080 mAh
Pengecasan pantas 67W
5,000 mAh
Pengecasan berwayar 80W
RM3499 (12GB/256GB)RM 1499 (8/128 GB)
RM 1599 (8/256 GB)
RM2,099 (8/256GB)

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia :

1x Oppo Reno8 pro.
1x Kerangka silikon.
1x Pengecas 3 pin 80W.
1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
1x Pin SIM.
1x Manual.


Kesimpulan

Dari segi rekaan Oppo Reno8 Pro mempunyai rekaan yang baik. Ia amat selesa dipegang di dalam tangan dengan tubuh yang berkotak dan skrin yang rata. Kekuatan utama Oppo Reno8 Pro ialah kemampuan kamera yang baik seumpama menggunakan peranti mercu mereka. Kebanyakan daripadanya mempunyai kualiti gambar yang mampu dirakam dengan baik tanpa memerlukan suntingan tambahan. Bagaimanapun, tiada OIS dan penggunaan sensor makro sedikit mencacatkan peranti ini.

Seterusnya, prestasi juga baik di mana ia berfungsi dengan lancar tanpa isu melampau ditemui sepanjang tempoh ulasan. Aplikasi juga dapat dilancarkan baik kerana saiz gabungan saiz RAM dan storan yang baik. ColorOS 12.1 juga disertakan pelbagai fungsi yang baik khususnya kawalan kata laluan untuk mematikan peranti yang dirasakan baik untuk sekuriti lebih selamat. Bagaimanapun, masalah bloatware terbina membuatkan kami sedikit ralat. Namun masih boleh dibuang sekiranya mahu. Tidak ketinggalan, jangka hayat bateri juga baik yang dipadankan dengan sistem pengecasan pantas 80W.

Pendek kata, ini adalah jawapan Oppo buat anda yang menyimpan hasrat untuk merasai pengalaman sistem pengimejan pada Oppo Find X5 Pro. Ia bagaimanapun masih belum sempurna kerana akan ada yang beranggapan harga jualannya tinggi. Tetapi seperti kita tahu, Oppo mempunyai peminat yang tersendiri. Pesaing terhampir buat Oppo Reno8 Pro adalah Poco X4 GT 5G dan Realme GT Neo3 dengan janaan cip yang sama.


Pro

  • Tubuh selesa di dalam genggaman.
  • Skrin yang terang dan tajam.
  • Kemampuan kamera yang baik dengan pengalaman pengimejan menarik.
  • Ketahanan bateri baik dipadankan pula dengan pengecasan yang pantas.
  • Pengimbas cap jari & imbasan wajah amat pantas.

Kontra

  • Pengecasan nirwayar tidak disokong.
  • Tiada OIS dan penggunaan sensor makro 2MP yang gimik.
  • Masalah aplikasi gendut yang banyak.
  • Kualiti audio yang kurang mantap.
Komen