ASRock, jenama komponen komputer yang cukup terkemuka nampaknya akan memperkenalkan beberapa model paparan skrin gaming mereka sendiri tidak lama lagi, seperti apa yang tertiris di arena web baru-baru ini.
Jenama tersebut dilihat akan memperkenalkan beberapa pilihan paparan dalam saiz dan konfigurasi yang berbeza, sesuai untuk pelbagai jenis gamer moden. Pertama ialah ASRock PG34WQ15R yang menggunakan panel VA melengkung bersaiz 34 inci dengan resolusi 3440×1440 dengan kadar segar semula setinggi 165Hz.

Kedua ialah ASRock PG27FF, sebuah paparan skrin IPS bersaiz 27 inci dengan resolusi Full HD dengan kadar segar semula yang sama. Model ASRock PG32QF juga diperlihatkan, tetapi buat masa ini diantara butiran yang diketahui mengenai paparan ini buat masa ini ialah ia hadir dengan saiz 32 inci dan mungkin mempunyai resolusi 1440p.
Dan yang terakhir ialah ASRock PG42U, iaitu sebuah paparan bersaiz 42 inci yang dijangka akan hadir dengan resolusi 4K. Tidak banyak lagi yang diketahui mengenai paparan skrin ini juga, tetapi oleh kerana ia dilihat sebagai sebuah paparan gaming, ada kemungkinan bahawa ia juga akan hadir dengan kadar segar semula tinggi melalui sokongan palam HDMI 2.1.

Butiran mengenai paparan-paparan ASRock ini semuanya didapati melalui laman KCC, iaitu badan pengesahan kelengkapan elektronik yang menyerupai SIRIM. Buat masa ini ia dijangka bahawa ASRock akan memperlihatkan paparan-paparan ini di masa akan datang.
- Sumber
- TechPowerUp