Cari @ Amanz

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba kelas bangsawan yang mempunyai spesifikasi yang boleh menandingi sebuah komputer desktop, ASUS Malaysia hari ini mengumumkan bahawa salah satu komputer riba paling berkuasa mereka, iaitu ROG STRIX Scar 17 Special Edition kini mula ditawarkan di pasaran tempatan.

Komputer riba ini memperlihatkan rekaan serba baru dari luar ke dalamnya, dimana ia merumahkan paparan bersaiz 17 inci dengan pilihan resolusi dan kadar segar semula QHD/240Hz dengan sokongan Adaptive Sync.

Dari segi komponen, ASUS ROG STRIX Scar 17 SE dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-12900HX dengan pilihan memori DDR5 sehingga 64GB dan juga gabungan dua storan SSD PCIe4.0 bersaiz 2TB, memberikan pengguna gabungan storan sebesar 4TB yang cukup besar untuk semua keperluan gaming mereka, khususnya kini apabila kebanyakan permainan komputer hadir dengan saiz fail yang besar.

Daripada segi penawaran kad grafik pula, komputer riba ini dikuasakan oleh NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti, iaitu kad grafik paling berkuasa untuk sebuah komputer riba setakat ini, yang lebih dari mampu untuk menggerakkan pelbagai jenis permainan komputer pada resolusi yang boleh ditawarkan pada komputer riba ini.

Komputer riba ini juga memperlihatkan rekaan yang lebih minimalis, tetapi dengan beberapa corak menarik, malah terdapat satu teka-teki yang boleh diselesaikan, dan ia ditulis menggunakan dakwat halimunan yang boleh dilihat dibawah cahaya UV yang juga dibekalkan oleh ASUS.

Untuk menyejukkan komponen-komponen berkuasa yang diperkenalkan dalam komputer riba ini, ASUS ROG STRIX Scar 17 SE ini menggunakan sistem penyejukan ROG Intelligent Cooling bersama bahan penyejuk cip pemprosesan Thermal Grizzly Conductonaut Extreme yang dilihat menjanjikan suhu operasi sehingga 15 Celcius lebih sejuk berbanding dengan penggunaan sistem penyejukan dan bahan penyejuk generasi lepas.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ASUS ROG STRIX Scar 17 Special Edition ini sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan dengan spesifikasi yang dikatakan diatas pada harga mencecah RM17,999.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd