Cari @ Amanz

Pada November tahun lepas, kami telah membuat ulasan mengenai fon telinga TWS Redmi Buds 3 Pro yang juga dijenamakan semula untuk menjadi Poco Buds Pro. Baru-baru ini, pihak Xiaomi telah menghantar kepada kami satu lagi variasi fon telinga Poco Buds Pro yang hadir dengan kolaborasi bersama permua popular Genshin Impact.

Fon telinga ini dinamakan Poco Buds Pro Genshin Impact Edition hadir dengan rekaan bertemakan salah satu watak permainan tersebut, iaitu Klee. Apa yang menarik mengenai fon telinga ini ialah daripada rekaan kotaknya, sehinggalah bekas pengecasan dan fon telinganya semua hadir dengan rekaan berasaskan watak ini.

Rekaan Dan Spesifikasi

Nama ModelPoco Buds Pro Genshin Impact Edition
MikrofonTiga
Bateri35mAh (earbud tunggal)
470mAh (pengecas)
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarAda
Sistem operasiAndroid, iOS, Windows
Pembantu mayaYa
Pad sesentuhYa
Rintangan airIPX4
Pemandu Audio10mm
BluetoothBluetooth 5.2
Harga JualanRM299

Dalam ulasan seperti ini, kami secara lazimnya tidak akan begitu menekankan aspek selain daripada peranti itu sendiri, tetapi untuk fon telinga ini, Poco nampaknya telah bekerja keras untuk mencipta sesuatu yang benar-benar unik dan memberikan pengalaman menyahkotak yang boleh saya katakan agak lain dari yang lain.

Bermula dengan kotak fon telinga Poco Buds Pro Genshin Impact Edition ini, ia hadir dengan rekaan salah satu daripada senjata yang digunakan oleh Klee, iaitu Dodoco Tales. Senjata ini hadir dengan rekaan sebuah buku, dan itulah rekaan yang digunakan oleh Poco untuk kotak fon telinga ini.

Apabila dibuka, anda boleh melihat rangka pengecasan dan fon telinga dengan rekaan berwarna merah dan semanggi berdaun empat yang merupakan logo untuk Klee. Fon telinga ini juga hadir dengan “beg” untuk menyimpan fon telinga ini, yang menyerupai rekaan beg galas yang digunakannya di dalam permainan. Dalam pada itu Poco juga menyertakan kabel pengecasan USB-C dan tambahan silikon untuk saiz telinga yang berbeza yang boleh ditukar dengan mudah sekiranya diperlukan.

Pada pendapat saya, Poco telah melakukan yang terbaik dari segi membangunkan sebuah fon telinga yang cukup sesuai dengan tema permainan Genshin Impact. Apa yang lebih menarik lagi ialah suara Klee dapat kedengaran dalam Bahasa Inggeris apabila fon telinga tersebut diaktifkan dan disambungkan kepada peranti anda.

Seperti yang dikatakan, fon telinga ini menggunakan TWS Redmi Buds 3 Pro sebagai asas, jadi spesifikasi untuk fon telinga ini adalah sama sepertinya. Ini termasuklah seperti penggunaan pemandu audio 10mm, tiga mikrofon terbina, rintangan air IPX4 dan sokongan untuk Bluetooth 5.2.

Sambungan Dan Kawalan

Fon telinga ini boleh disambungkan ke peranti-peranti pintar melalui sambungan Bluetooth dengan cepat dan pantas sekali. Tidak kira jika anda menggunakan peranti Android ataupun iPhone, anda hanya perlu membuka rangka pengecasan fon telinga ini, membuka senarai peranti Bluetooth di peranti anda dan mengaktifkannya daripada senarai tersebut.

Sama seperti Remi Buds 3 Pro, fon telinga ini hadir dengan kawalan sesentuh kapasitif yang membolehkan anda untuk melangkau, menjeda dan memainkan media yang sedang anda tonton ataupun dengar dengan mudah. Ia juga hadir dengan sebuah ciri yang semakin umum dimana lagu akan dijedakan apabila anda mengeluarkan salah satu fon telinga dari telinga anda.

Sayangnya, oleh kerana fon telinga ini tidak mempunyai sebarang aplikasi yang boleh dimuat-turun, kesemua tetapan untuk fon telinga ini adalah tetap dan tidak boleh diubah. Ini termasuklah tetapan untuk mengubah olahan audio dan juga pintasan pada fon telinga ini.

Ya, sayangnya tidak kira apa peranti pintar yang anda gunakan (mungkin kecuali peranti Pocophone ataupun Xiaomi), tetapan pada fon telinga ini tidak boleh diubah, dan ini boleh dilihat menjadi satu masalah khususnya apabila anda sedang mendengar lagu ataupun sebarang jenis audio pada platform penstriman pilihan anda.

Kualiti Audio

Jujur saya katakan bahawa saya menggunakan dan mengulas mengenai fon telinga ini selepas sudah membiasakan telinga saya dengan penawaran premium daripada jenama-jenama audio seperti Sony dan Sennheiser, menggunakan fon telinga Poco Buds Pro ini rasa sangat menjanggalkan.

Jujur saya katakan bahawa kualiti audio Poco Buds Pro ini boleh saya gambarkan sebagai mendengar sebuah lagu dimana pembesar suaranya adalah disebalik sebuah tirai. Nota-nota rendah khususnya agak sukar untuk didengar langsung, manakala nota tengah dan tinggi tidak memuaskan kerana kualiti audio yang tidak jelas.

Kualiti bass fon telinga ini juga sangatlah tidak memuaskan. Dari segi kualiti audio, bass pada Poco Buds Pro ini sangat lemah dan sering tenggelam disebalik latar belakang lagu. Bagi saya, satu-satunya masa apabila isu bass ini mungkin bukan satu masalah yang besar ialah apabila lagu tersebut sendiri hadir dengan tahap bass yang lebih tinggi dari biasa, seperti mendengar lagu dalam genre electronica seperti DnB ataupun jazz.

Isu terakhir saya dengan Poco Buds Pro ialah ear tip yang dibekalkan langsung tidak muat dengan lubang telinga saya, jadi penggunaan fon telinga ini tidak selesa bagi saya. Ia samada terlalu longgar sehingga menyebabkan tirisan bunyi hingar dan menyebabkan kualiti audio tidak begitu baik, ataupun terlalu ketat sehingga menyebabkan saya tidak selesa menggunakan fon telinga ini.

Muatan yang kurang memuaskan ini juga menyebabkan ciri Adaptive Noise Cancelling terbina kurang berguna bagi saya juga. Anda boleh menukar ear tip tersebut dengan pilihan anda sendiri, tetapi bagi saya, ini akan merosakkan sedikit estetik fon telinga ini.

Saya tidak nafikan bahawa saya mungkin sudah terdedah dengan pilihan fon telinga TWS yang hadir dengan kualiti audio dan yang lebih baik yang mungkin juga lebih mahal, tetapi inilah pengalaman audio saya menggunakan fon telinga ini.

Bateri

Ketahanan bateri fon telinga Poco Buds 3 Pro ini bagi saya cukup memuaskan sekali. Dengan satu pengecasan penuh, fon telinga ini boleh beroperasi selama sekitar 6 jam, dan rangka pengecasan fon telinga ini memberikan jumlah pengecasan tambahan sekitar 20-22 jam lagi.

Pengecasan fon telinga ini juga dilihat cukup pantas, dimana dalam pengalaman saya, pengecasan penuh dapat dilakukan dalam masa kurang dari 2 jam.

Kesimpulan

Fon telinga Poco Buds Pro Genshin Impact Edition merupakan salah satu daripada fon telinga yang paling cantik pernah direka. Daripada kotak fon telinga ini kepada beg menyimpan fon telinga, rangka pengecasan dan fon telinga itu sendiri, semuanya direka untuk menuruti rekaan watak Klee dengan sangat cantik sekali.

Tetapi ia juga sangat sayang bahawa kualiti audio fon telinga ini tidak segah rekaannya. Bukan untuk mengatakan bahawa ia sangat teruk, tetapi saya tetap berpendapat bahawa fon telinga ini dibangunkan semata-mata untuk tujuan kolaborasi bersama pihak Hoyoverse, khususnya untuk permainan Genshin Impact.

Sekiranya anda seorang peminat tegar Genshin Impact dan gemar mengumpul permainan, patung dan aksesori-aksesori berkaitan dengan permainan tersebut, ini adalah satu aksesori yang baik untuk anda kumpulkan.

Pro:

  • Rekaan mirip konsep watak Klee dalam Genshin Impact
  • Mudah dipasang dan digunakan
  • Ketahanan bateri memuaskan
  • Harga mampu-milik

Kontra:

  • Tiada aplikasi pendamping
  • Kualiti audio yang tidak begitu baik
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd