Kebelakangan ini, perbualan melalui pelaburan emas giat diperkatakan di platform-platform media sosial tempatan, tetapi tahukah anda ada satu lagi skandal emas yang lebih besar yang melibatkan sejumlah syarikat-syarikat teknologi global yang terkemuka?
Baru-baru ini, ia telah dilaporkan oleh akhbar tempatan di Brazil bahawa Amazon, Apple, Google dan Microsoft telah membeli emas dari sebuah lombong emas yang haram, secara ironinya, dari hutan Amazon. Lombong-lombong haram ini juga dibuka di tanah simpan orang asli di hutan-hutan tersebut, dan sehingga kini tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.
Emas yang dibeli oleh syarikat-syarikat teknologi ini secara lazimnya akan digunakan sebagai bahan elektronik yang akan digunakan didalam peranti-peranti Apple dan Microsoft, ataupun mesin pelayan untuk Amazon dan Google.

Kilang-kilang emas yang terlibat dalam pelombongan emas haram ini termasuklah kilang-kilang Chimet dari Itali dan Marsam Metals dari Brazil dan sedang disiasat oleh Brazilian Federal Police kerana pelombongan bahan mentah secara haram dan juga isu pencemaran alam sekitar.
Syarikat-syarikat teknologi yang dikatakan sebelum ini juga dilaporkan telah membeli emas daripada kilang-kilang ini pada tahun 2020 ke 2021 dan walaupun syarikat-syarikat melombong ini sedang disiasat di Brazil, di Amerika Syarikat kedua-dua syarikat ini adalah berdaftar dan tiada masalah dilaporkan buat masa ini.
Reporter Brasil telah menghubungi syarikat-syarikat teknologi ini, dan setakat ini hanya Apple telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa mereka tidak lagi membeli bahan emas daripada Marsam Metals, tetapi tidak mengatakan apa-apa mengenai Chimet.
Selain daripada digunakan sebagai barang perhiasan dan barang kemas, emas juga dilihat sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan peralatan elektronik secara global.
- Sumber
- Reporter Brasil