Carian
Selepas 17 Tahun Bersama, Kontrak Nokia Dan Zeiss Kini Tamat
July 26, 2022 Fahim Zahar

Nokia adalah antara jenama telefon pintar yang cukup terkenal dengan kamera mereka pada suatu masa dahulu. Ini kerana mereka bekerjasama dengan Zeiss untuk menggunakan teknologi kamera seperti pada lensa dan juga pada perisian.

Kerjasama antara dua jenama ini adalah antara yang paling lama bertahan dalam industri telefon pintar. Peranti pertama adalah Nokia N90 dan selepas 17 tahun lamanya, HMD Global mengesahkan yang kontrak Nokia bersama Zeiss sudah tamat.

Ini menjadikan peranti Nokia XR20 adalah telefon pintar terakhir dengan teknologi Zeiss. HMD Global tidak mendedahkan sebab mereka tidak meneruskan kerjasama ini, tetapi menurut spekulasi ia adalah untuk mengurangkan kos. Kelak tiada lagi telefon pintar Nokia yang menggunakan sensor Zeiss ini dan tidak pasti sama ada akan ada kerjasama dengan jenama pengimejan lain ataupun tidak.

Jenama Zeiss ini kini digunakan oleh Vivo yang menggunakan teknologi sensor dan lensa untuk peranti seperti Vivo X60, X70 dan X80. Pada peranti Vivo, mereka memfokuskan pada penggunaan mod potret yang unik.

Dengan kerjasama Nokia dan Zeiss ini tamat, apakah perasaan anda terhadapnya? Pernah atau tidak anda menggunakan peranti Nokia dengan Zeiss dan adakah anda akan merinduinya?

Komen