Cari @ Amanz

iPhone adalah telefon pintar yang tidak memerlukan penggunaan memori tinggi seperti Android. Hanya dengan 4GB atau 6GB RAM sahaja sudah memadai dan ia akan mempunyai prestasi pantas serta boleh mengendalikan multi-tugasan dengan baik sekali tanpa sistem tergendala.

Sejak iPhone 12 Pro, Apple mula menggunakan 6GB RAM untuk menawarkan prestasi yang berkali ganda lebih baik. Tetapi sehingga hari ini, memori yang Apple gunakan pada iPhone adalah jenis LPDDR4X yang banyak digunakan oleh peranti kelas pertengahan Android.

Untuk iPhone 14 Pro akan datang, DigiTimes melaporkan yang Apple akan menggunakan memori lebih pantas iaitu jenis LPDDR5 yang sudah sedia digunakan oleh banyak peranti mercu Android atau peranti kelas pertengahan premium seperti Nothing Phone (1).

Bukan itu sahaja, kesemua iPhone 14 dikatakan akan menggunakan memori 6GB RAM dan tiada lagi model dengan 4GB RAM. Cuma, iPhone 14 dan iPhone 14 Max akan menggunakan memori LPDDR4X sementara iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max dengan memori LPDDR5.

Antara sebab kenapa iPhone 14 dan iPhone 14 Max menggunakan memori besar, mungkin kerana dua peranti ini akan kekal dengan cip Apple A15 Bionic. Hanya model Pro sahaja dikhabarkan akan dijana dengan cip Apple A16 Bionic.

iPhone 14 adalah peranti yang dijangka akan berhenti menggunakan rekaan bertakuk dan beralih ke rekaan skrin berlubang. Kamera juga dikatakan akan lebih baik dan turut akan model yang hanya menawarkan penggunaan eSIM sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd