Pada acara Huawei APAC Smart Office Launch 2022 di Bangkok hari ini turut memperlihatkan pengenalan untuk tablet baharu. Melaluinya, Huawei MatePad Pro 11 telah dilancarkan secara rasmi sebagai sebuah lagi tablet untuk keperluan bekerja lengkap. Menariknya, ia juga lengkap dengan sokongan papan kekunci dan stylus yang semestinya mampu memenuhi keperluan ramai pengguna. Ini ialah pandang pertama kami untuk tablet baharu Huawei ini.
Spesifikasi & Rekaan
MatePad Pro 11 | |
---|---|
Skrin | 11″ OLED, WQXGA (2560 x 1600 piksel) 120Hz, 274 PPI |
Pemproses | Snapdragon 888 (5nm) Snapdrgon 870 (7nm) |
Cip Grafik | Adreno 650 Adreno 660 |
Sistem Operasi | Harmony OS 3.0 |
RAM | 8GB |
Storan Dalaman | 128GB/256 GB |
Kamera Utama | 13-Megapixel + 8-Megapixel |
Kamera Swafoto | 16-Megapixel |
Bateri | 8300mAh Pengecasan berwayar 66W/44W |
SIM/Telefoni | WiFi sahaja |
Pembesar Suara | 6 + HUAWEI Audio |
Bicu Audio | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan Wajah, kata laluan & peranti berhubung |
Harga Jualan | Belum diumumkan |
Huawei MatePad Pro baharu ini akan mula dipasarkan di Malaysia pada bulan Ogos hadapan. Tiada isu dari segi keselesaan apabila menggunakan tablet ini. Binaan tubuh tablet daripada aluminium dengan sisi membulat membuatkannya selesa serta kemas di dalam tangan. Dalam masa sama, ia juga ringan dan mudah untuk dibawa ke mana-mana. Bukan itu sahaja, kemasan pusam yang digunakan agak baik untuk mengelakkan kotoran melekat dengan mudah. Panel belakangnya yang agak kasar sekaligus membuatkan tablet tidak terasa licin di dalam tangan.
Seperti namanya, skrin sebesar 11-inci beresolusi 2560 x 1600 piksel (WQXGA) dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 92% yang digunakan adalah dari jenis OLED. Skrin juga menyokong kadar segar semula 120Hz dinamik tetapi pilihan untuk mengubahnya ke 60Hz atau 120Hz sepanjang masa sekiranya perlu turut disertakan menerusi tetapan. Cumanya, resolusi skrin sahaja yang tidak boleh diubah. Seterusnya kedudukan kamera swafoto sebesar 16-Megapixel terletak pada bucu atas sebelah kanan menerusi penggunaan skrin berlubang. Saiz bezel juga tampak sekata pada keempat-empat sisi skrin tablet.
Seperkara yang menarik perhatian ialah bonggol kamera berbentuk bulat pada bahagian belakang tablet. Ia bagaimanapun tampak agak tinggi sekaligus menyebabkan tablet sukar untuk diletakkan secara rata di atas meja. Melaluinya, Huawei juga telah meletakkan sistem dwi-kamera utama dengan tetapan 13-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (ultra-lebar) bersama satu LED Flash di dalam modul kamera yang sama. Kemampuan kameranya di sini mampu untuk mengambil gambar pada nisbah 1:1, 4:3 dan 16:9.
Beberapa fungsi fotografi tambahan seperti Photo, Video, Beauty, Time-lapse, Stickers dan Document turut disertakan bagi membolehkan rakaman gambar atau video yang pelbagai dapat dihasilkan. Pada tetapan tertinggi video pula boleh dirakam mencapai resolusi 4K pada 30fps. Tidak ketinggalan, proses tangkapan gambar turut boleh dilakukan dengan kawalan suara menerusi beberapa pilihan tetapan seperti menyebut kata kunci (Say keyword) atau bercakap dengan kuat (Speak loudy).
Satu-satunya port pada tablet ialah USB-C yang diletakkan di bahagian bawah untuk pengecasan. Kemudian, bahagian atas pula menempatkan butang kuasa dengan kemasan warna merah yang semestinya memudahkannya untuk dicari. Butang laras audio juga mempunyai binaan yang baik dan boleh ditemui pada sisi sebelah kanan. Bukan itu sahaja, enam pembesar suara yang di tala oleh Huawei Sound digunakan untuk pengalaman audio lebih imersif. Namun begitu, sokongan bicu audio 3.5mm tidak pula dimuatkan ke dalam tubuh sebuah tablet seberat 449 gram ini.
Tablet ini didatangkan dengan dua pilihan cip pemprosesan yang turut menyokong sistem pengecasan yang berbeza. Ia menggunakan cip Snapdragon 888 dengan pengecasan pantas 66W. Sementara itu, variasi dengan Snapdragon 870 pula dibekalkan pengecasan pantas 40W. Sungguhpun begitu, kedua-dua tablet tidak didatangkan dengan kebolehan 5G.
Gabungan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB juga dirasakan memadai untuk kebanyakan pengguna. Seterusnya tablet yang diuji ini adalah versi wifi sahaja dan disebabkan itu tiada ruang untuk slot SIM yang ditemui. Bagaimanapun, pihak Huawei Malaysia telah memaklumkan yang mana variasi LTE turut bakal ditawarkan kelak.
Bateri 8,300mAh turut digunakan dengan kemampuan penggunaan yang diiklankan mampu bertahan sehingga 11.5 jam dengan sekali pengecasan. Apabila kehabisan bateri, ia boleh di cas semula menggunakan kepala pengecas dan kabel sambungan USB-C yang disediakan percuma di dalam kotak pembelian. Tidak ketinggalan, beberapa pilihan untuk penetapan sekuriti pada tablet turut disertakan untuk penggunaan lebih pelbagai. Misalnya seperti sistem imbasan wajah, penggunaan kata laluan dan kebolehan menyahkunci tablet menggunakan peranti lain yang disambungkan.
Pengalaman Penggunaan
Secara keseluruhan, reka bentuk pada tablet MatePad Pro 11 adalah baik dan kemas. Pengalaman penggunaan ringkas juga menunjukkan skrin tablet yang cukup terang dengan kualiti warna yang baik. Bukan itu sahaja, saiz skrin yang besar turut mampu menyajikan pengalaman menonton video lebih imersif. Kami juga tidak menyedari sebarang isu semasa mencubanya kerana kadar segar semula 120Hz membuatkan tablet dapat digunakan dengan lancar.
Kebolehan pembesar suara juga mampu menghasilkan bunyi audio yang jelas dan kuat. Tetapi sayang penggunaan yang agak singkat menyebabkan kami tidak mampu menguji prestasi audio ini secara menyeluruh. Tablet ini juga didatangkan dengan sistem operasi baharu HarmonyOS 3.0 yang mempunyai peningkatan cukup kemas. Misalnya, ciri Folder Card yang membolehkan pengguna menyusun semula widget agar skrin utama tampak sentiasa kemas. Dalam masa sama, antara muka turut telah dibentuk semula bagi memudahkan penggunaannya.
Aksesori Tambahan Disokong
Padanan beberapa aksesori tambahan turut boleh digunakan pada tablet ini untuk pengalaman penggunaan lebih baik. Misalnya, papan kekunci fizikal yang juga merangkap kerangka pelindung pada tablet. Ia menggunakan bahan berasaskan plastik dan tekstur seakan kulit dengan kekunci dari jenis chicklet. Sambungan pada tablet adalah secara magnetik dan lengkap dengan tongkat pada bahagian belakang dan boleh dilipat sehingga 165 darjah. Dalam masa sama, ia turut menyokong ciri tersembunyi yang dikatakan mampu meningkatkan prestasi sambungan Wi-Fi sehingga 20% lebih baik. Cubaan ringkas kami mendapati pengalaman menaip terasa memuaskan. Tetapi kami kurang selesa dengannya kerana saiz papan kekunci yang agak kecil.
Seterusnya Stylus M-Pencil generasi kedua turut boleh digunakan pada tablet ini. Kemampuannya telah dipertingkatkan dengan kebolehan mengesan tahap tekanan sehingga 30% lebih baik. Ia juga berfungsi secara magnetik untuk tujuan sambungan atau mengecas secara nirwayar pada tablet. Pada masa sama, pilihan warna baharu serba putih turut diperkenalkan bersama kerangka tambahan bagi mengelakkan kemungkinan berlakunya kerosakan atau kehilangan. Bukan itu sahaja, sejumlah ciri menarik turut disokong oleh pencil seperti Capture Colours Across Applications dan Mojing Paint App.
Kesimpulan
Huawei MatePad 11 ini akan mula dipasarkan di Malaysia sekitar bulan Ogos hadapan. Dari segi rekaan tablet ini mempunyai rekaan yang baik. Ia selesa dipegang di dalam tangan dengan tubuh yang berkotak dan sisi skrin yang membulat. Kekuatan utama tablet adalah sokongan dua cip pemprosesan berbeza dalam memberi lebih pilihan buat pengguna. Bagaimanapun tiada kebolehan 5G yang disokong oleh tablet. Seterusnya penambah-baikan turut telah dilakukan untuk sebilangan aspek bagi menjadikan penggunaan tablet lebih baik. Kami juga tidak menyedari sebarang isu semasa mencubanya kerana kadar segar semula 120Hz membuatkan tablet dapat digunakan dengan lancar.
Pro
- Kemampuan skrin yang memuaskan
- Gabungan rekaan & kemasan yang baik.
- Sokongan M Pencil cukup lancar.
- Saiz bateri agak besar.
Kontra
- Aksesori papan kekunci yang mengecewakan.
- Bonggol kamera yang tinggi.