Cari @ Amanz

Razer hari ini telah melancarkan papan kekunci baharu mereka dalam siri DeathStalker V2. Ia adalah papan kekunci untuk permainan video dengan suis jenis optikal serba baharu mereka. DeathStalker V2 merupakan papan kekunci nirwayar dengan sokongan kabel USB-C serta Razer Synapse untuk kawalan Razer Chroma RGB. Terdapat tiga model dilancarkan iaitu Razer DeathStalker V2 Pro, DeathStalker V2 TKL dan juga DeathStalker V2.

Razer DeathStalker V2 Pro

Papan kekunci ini adalah model yang paling mahal. Ia menggunakan suis profil rendah baharu Razer jenis optikal dan Razer menjamin ia boleh bertahan sehingga 70 juta kali ditekan. Razer DeathStalker V2 Pro ini turut menggunakan teknologi HyperSpeed Wireless dan HyperSpeed Multi-device untuk sambungan nirwayar dan sokongan tambatan ke multi-peranti.

Sambungan ini adalah menggunakan USB-C, nirwayar 2.4GHz atau juga Bluetooth. Papan kekunci ini turut mempunyai kekunci kawalan media dan kekunci pengguling serta menggunakan kekunci adalah jenis tahan lasak yang diperbuat daripada ABS. DeathStalker V2 Pro turut menyokong memori atas litar jenis hibrid dan storan awan untuk menyimpan sehingga lima profil tetapan papan kekunci.

Kekunci juga boleh diprogamkan untuk akses pintasan tersendiri, mempunyai sokongan N-key roll over, ada mod permainan video, dan tubuh dibina daripada aluminium 5025. Bateri pula bertahan sehingga 40 jam penggunaan.

Razer DeathStalker V2 Pro TKL

Versi ini adalah versi tenkeyless, yang mana menyertakan sokongan yang sama dengan rekaan dan binaan yang sama. Beza utama adalah pada kekunci dan ketahanan bateri sehingga 50 jam, iaitu 10 jam lebih lama.

Razer DeathStalker V2

Model yang ketiga adalah yang paling asas. Sama juga dengan kedua-dua model di atas, cuma versi asas ini tidak menyokong sambungan Razer HyperSpeed Wireless dan HyperSpeed Multi-device.

Bagi yang berminat, papan kekunci ini sudah pun mula dijual. Anda boleh dapatkannya melalui laman web rasmi Razer ataupun melalui pengedar rasmi. Berikut adalah harga jualan;

  • Razer DeathStalker V2 Pro: RM999, kini dijual
  • Razer DeathStalker V2 Pro TKL: RM929, jualan bermula suku ketiga 2022
  • Razer DeathStalker V2: RM799, jualan bermula suku ketiga 2022
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd