OnePlus Watch adalah jam tangan pintar pertama daripada OnePlus yang dilancarkan pada tahun 2021 dengan tanda harga RM699. Ia bukanlah satu jam tangan pintar penuh, sebaliknya satu jam yang asas dengan ciri memantau kesihatan, memberi notifikasi, sokongan Google Maps dan Spotify serta menyokong beberapa mod sukan dan mempunyai banyak pilihan muka jam.
Walaupun ia bukan jam yang terbaik dengan perisian yang tidak mempunyai prestasi yang bagus, OnePlus masih mencuba sedaya upaya mereka untuk mempunyai ekosistem yang tersendiri.
Terkini, jenama Nord mereka yang memfokuskan kepada gaya hidup dan penggunaan yang bersahaja mungkin akan hadir dengan jam tangan pintar tersendiri juga iaitu OnePlus Nord Watch. Butiran jam ini tertiris melalui aplikasi N Health iaitu aplikasi khas untuk pemantauan kesihatan pengguna produk Nord.
Aplikasi ini mungkin satu penjenamaan semula daripada OnePlus Health yang digunakan bersama OnePlus Watch. Dalam aplikasi ini, ia mendedahkan rekaan jam Nord Watch yang mirip dengan bentuk Apple Watch. Tetapi ia mempunyai tombol atau butang terjojol pada sisi di bahagian tengah yang mungkin turut mempunyai dua butang tambahan bersamanya.
Dalam aplikasi N Health turut kelihatan beberapa rekaan muka jam dengan kebolehan melakukan muka jam tersuai, paparan data aktiviti harian, dan beberapa lagi pilihan pemantauan kesihatan. Sumber turut menyatakan Nord Watch mungkin akan menyertakan sokongan sensor SpO2, pemantauan tidur dan pemantauan degupan jantung.
Kami yakin ia tidak akan menjalankan sistem operasi Wear OS dan akan menjalankan sistem operasi tersendiri seperti OnePlus Watch. Buat masa ini masih tidak pasti bila ia akan dilancarkan dan negara mana yang akan menerima jam ini. Sama-sama kita nantikan.