Disamping komputer riba produktiviti premium HP Envy 16 yang dilancarkan semalam, HP Malaysia turut mengumumkan ketibaan komputer riba 2-dalam-1 HP Spectre x360 yang dikemaskini dengan cip pemprosesan Intel generasi ke-12 Alder Lake.
Komputer riba ini hadir dengan pilihan paparan skrin sesentuh OLED 13.5 inci dengan resolusi 3K2K (3000×2000) ataupun paparan IPS dengan resolusi WUXGA+ (1920×1280) yang boleh dipusing 360 darjah untuk menukar komputer riba ini kepada sebuah tablet.
Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-1255U dengan memori LPDDR4x sebanyak 16GB dan hadir dengan storan SSD NVMe PCIe 4.0 sebesar 1TB. Dari segi penawaran GPU pula, komputer riba ini menggunakan cip pemprosesan grafik terbina Intel Iris Xe.
Komputer riba ini juga hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad microSD. Ia juga menggunakan sistem pembesar suara Bang & Olufsen dengan teknologi HP Audio Boost dan menyokong teknologi internet nirwayar WiFi 6E dan Bluetooth 5.2.
Buat masa ini, HP Malaysia membawa masuk model HP Spectre x360 dengan paparan skrin beresolusi 3K2K, dengan penawaran WUXGA+ akan diperlihatkan kelak. Setiap pembelian komputer riba ini juga akan hadir dengan sebuah paparan HP M22f 22 inci secara percuma dan juga aksesori dan hadiah-hadiah lain.