#LG

Siri Televisyen LG OLED evo Akan Ditawarkan Di Pasaran Tempatan Pada Harga Mencecah RM124,900

Diterbitkan pada July 29, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada tahun lepas, LG, syarikat pembuat panel paparan terkemua dari Korea Selatan telah mula membangunkan dan memasarkan skrin OLED evo, iaitu sebuah paparan OLED yang menggunakan bahan Deuterium untuk meningkatkan nilai kecerahan dan juga memanjangkan hayat panel tersebut.

Sebelum ini, panel OLED evo ini hanya digunakan dalam televisyen kelas paling premium mereka, iaitu LG G1. Pada tahun ini, LG dilihat telah membangunkan panel tersebut untuk digunakan secara lebih meluas, termasuklah televisyen pintar kelas pertengahan mereka.

Hari ini, LG Malaysia telah mula menjual siri televisyen OLED evo G2 dan C2 ini di pasaran tempatan, dengan menawarkan sejumlah saiz yang cukup besar, dari 48 inci, yang mana LG mengatakan bahawa ia adalah televisyen OLED paling kecil di dunia, sehinggalah 88 inci, dimana mereka juga mengatakan ialah televisyen OLED paling besar di dunia, menawarkan resolusi 4K sehinggalah 8K bergantung kepada model dan saiz paparan.

Televisyen-televisyen pintar baru ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Alpha9 Gen 5 yang menawarkan kecerahan dan kejituan warna tanpa tandingan melalui teknologi Brightness Booster mereka.

Kelebihan menggunakan cip pemprosesan Alpha9 Gen 5 ini juga ialah ia menggunakan kecerdasan buatan untuk membuatkan adegan-adegan yang dimainkan, tidak kira kandungan video ataupun permainan video lebih menyerlah dan tajam.

Cip pemprosesan ini juga membantu dalam meningkatkan kualiti audio melalui pembesar suara yang terbina didalam televisyen bersama-sama perisian LG AI Sound Pro yang membolehkan televisyen-televisyen OLED evo ini mengeluarkan output audio 7.1.2 secara maya, tetapi masih lagi memberikan kualiti audio yang realistik dan mendalam.

Selain daripada sokongan untuk HDMI 2.1 yang membolehkan konsol permainan video dan komputer desktop untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi 4K120Hz, televisyen-televisyen ini turut hadir dengan sokongan untuk teknologi grafik NVIDIA G-SYNC dan juga AMD FreeSync Premium Pro yang mengurangkan isu cerakan skrin (screen tearing).

Bukan itu sahaja, siri televisyen LG OLED evo ini juga hadir dengan fungsi Game Optimizer yang akan mengoptimasikan kecerahan dan suhu warna televisyen bersesuaian dengan permainan yang sedang dimainkan, manakala fungsi Dark Room juga akan memastikan bahawa televisyen ini mempunyai nilai kecerahan yang bersesuaian dengan kegelapan bilik.

Dengan penggunaan sistem operasi WebOS 22 yang terbaru, televisyen ini juga hadir dengan fungsi Room-to-Room share yang akan mencerminkan kandungan dari satu televisyen ke televisyen LG yang lain melalui WiFi sekiranya anda memiliki lebih dari satu televisyen LG di rumah anda.

Saiz paparan yang akan dibawa masuk ke pasaran tempatan termasuklah 48 inci, 55 inci, 65 inci, 77 inci, 83 inci dan 88 inci.

LG Malaysia mengatakan bahawa televisyen pintar LG OLED evo G2 dan C2 ini akan tiba ke pasaran tempatan tidak lama lagi, dan akan tanda harga permulaan RM8199 untuk model 48 inci, sehingga RM124,900 untuk model 88 inci.

komen


© Amanz / 2022 Kami