Huawei Smart Screen S86 Pro Dilancarkan Dengan Skrin 4K 120Hz Dan HarmonyOS 3

Diterbitkan pada July 29, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .


Pada minggu ini, Huawei telah hadir dengan produk baharu yang merangkumi pelbagai segmen. Salah satu daripadanya adalah skrin pintar sebesar 86-inci dikenali Huawei Smart Screen S86 Pro. Menarik mengenainya, ia menjalankan sistem operasi baharu HarmonyOS 3 bagi membolehkan pengguna mengawal peranti daripada jauh menggunakan peranti pintar.

Skrin sebesar 86-inci LCD Ultra HD 4K dengan kadar segar semula 120Hz digunakan untuk pengalaman tontonan lebih lancar dan jelas. Ia turut dimuatkan dengan teknologi anti-glare AG bertujuan mengurangkan gangguan pantulan cahaya pada skrin. Kamera 12MP (ultra-lebar) turut disertakan bertujuan untuk panggilan video, di samping beberapa ciri lain seperti pengesanan potrait dan peringatan jarak.

Enam pembesar suara terbina disertakan dengan sokongan sistem audio Huawei Sound. Memori pula sebesar 4GB RAM yang dipadankan dengan storan 64GB. Dalam masa sama, paparan pintar ini turut boleh berfungsi sebagai hub untuk rangkaian perkakasan rumah pintar Huawei yang lain.

Pilihan untuk port terdiri dengan 3 X HDMI 2.0, 1 X HDMI-ARC, 1 X S/PDIF, 1 X CVBS, 1 X RJ45 dan 1 X USB 3.0. Huawei S86 Pro Smart Screen dijual di China pada RMB13,999 (~RM9,250) sebuah.

komen


© Amanz / 2022 Kami