Wiko melancarkan semula produk mereka di Malaysia hari dengan Wiko T50 dan Wiko T10. Kedua-duanya ditawarkan pada harga mampu milik yang tidak akan membebankan golongan B40. Tetapi apa yang kami sedari di Malaysia ialah peranti yang dijual pada harga mampu milik sering mempunyai masalah prestasi.

Oleh itu apabila diberikan Wiko T50 untuk diulas, saya segera mengambil peluang ini untuk mencubanya. Wujud ataupun tidak peranti mampu milik yang boleh digunakan tanpa sebarangisu besar? Jawapannya di akhir ulasan ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Wiko T50 | |
---|---|
Skrin | 6.6″ IPS LCD, 1080 x 2400 pixel, 60Hz |
Pemproses | MediaTek Helio G85 |
Cip | 2 X 2.0 GHz Cortex A77 6 X 1.8 GHz Cortex A55 |
Cip Grafik | Mali-G52 MC2 |
RAM | 4GB LDPDR4x |
Muatan Dalaman | 128 GB |
Kamera Utama | 64MP f/1.8, OIS (Sudut lebar) 8MP f/2.2 (Ultra sudut lebar) 2MP f/2.4 (Makro) |
Kamera Swafoto | 16 MP f/22 |
Bateri | 4000 mAh Pengecasan berwayar 40W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Tiada |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi |
Harga Jualan | RM899 (6/128GB) |
Selalunya peranti kelas permulaan hadir dengan pelbagai kompromi yang ketara. Pada skrin bezel sisi, dahi dan dagu yang besar adalah kebiasaan. Pada T50, Wiko masih mampu menawarkan skri dengan bezel yang jauh lebih nipis. Hasilnya peranti kelihatan lebih premium berbanding peranti lain dalam kelas yang sama.

Tetapi ia masih sekadar 6.6″ IPS LCD dengan kadar segar semula 60Hz. Ini bermakna tiada sokongan HDR dan mempunyai isu-isu yang biasa kita lihat pada peranti LCD. Ia berfungsi dengan baik di dalam kawasan tertutup tetapi terus sukar dilihat apa yang dipaparkan di bawah cahaya matahari yang terang. Paparan adalah tajam dengan ia mengesan tatalan jari dengan baik. Pada waktu yang sama LCD tidak akan dapat menandingi panel OLED yang boleh memaparkan warna lebih hidup, terang dan hitam lebih gelap. Sebuah lubang kamera swafoto juga diletakkan di tengah-tengah.

Tiada juga pengimbas bawah skrin yang sudah menjadi standard sekarang. Sebaliknya pengimbas cap jari diletakkan pada butang kuasa di sisi kanan peranti. Pengimbas ini tidak begitu pantas jika dibandingkan dengan Galaxy A23 yang kami ulas sebelum ini. Secara purata proses nyahkunci mengambil masa sekitar setengah saat yang perlahan jika dibandingkan dengan sekelip mata pada sistem imbasan cap jari peranti lain.
Pada sisi kanan yang sama terdapat butang laras kelantangan bunyi. Di bahagian atas pula terdapat bicu audio 3.5mm. Sementara itu di bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C, talam dwi-SIM nano dan kekisi untuk speaker mono. Sedikit aneh ialah tiada slot untuk kad mikro SD yang biasanya menjadi ciri biasa pada peranti dalam kelas permulaan di Malaysia.

Keseluruhan panel belakang diperbuat daripada bahan plastik yang berkilat membuatkannya mudah mengumpul semua jenis kotoran serta menjadikan peranti agak licin dalam genggaman.
Bonggol untuk tri-kamera di belakang adalah sederhana besar dengan terdapat tiga lagi bonggol untuk setiap lensa kamera di atas bonggol pertama berbentuk bujur. Ini membuatkan lensa kamera terdedah kepada permukaan risiko tercalar apabila diletakkan di atas permukaan meja.

Secara keseluruhan rekaan peranti ini sederhana, praktikal dan seimbang walaupun ia bukanlah sebuah peranti yang dijual pada harga premium. Rekaannya tidak mengagumkan seperti sebuah Nothing Phone (1) tetapi tidaklah mengecewakan sehingga membuatkan ia terasa seakan seperti sebuah telefon mudah alih permainan.

Penggunaan Dan Perisian
Peranti menggunakan Android 11 dengan pelancaran Wiko yang mengubah beberapa elemen antaramuka daripada Android AOSP. Oleh sebab itu pengalaman menggunakan T50 terasa amat lancar kerana pelancar yang tidak begitu berat. Peranti yang diulas hanya dilengkapi 6GB RAM tetapi kami tidak menemukan sebarang isu sela masa yang kronik atau masa yang lama untuk melancarkan aplikasi yang telah dimuat turun.

Terdapat pelbagai ciri standard Android seperti melancarkan aplikasi serentak dalam dua tingkap berbeza, Live Transcribe dan Digital Wellbeing. Kesemua ciri utama yang diperlukan disokong sepenuhnya pada peranti ini tanpa sebarang isu besar sepanjang tempoh ulasan selama sekitar seminggu.
Tetapi kami tidak boleh menafikan penggunaan Android 11 pada tahun 2022 adalah sesuatu yang amat memalukan. Sepatutnya peranti yang dilancarkan tahun ini sudah menggunakan sekurang-kurangnya Android 12. Kami tidak tahu berapa lamakah peranti ini akan disokong oleh Wiko dan sama ada ia akan menerima Android 12 dan Android 13. Satu-satunya perkara positif yang kami boleh lihat mengenai perisian ialah sekurang-kurangnya T50 yang kami ulas mempunyai tampalan sekuriti sehingga Mei 2022.
Penanda Aras
MediaTek Helio G85 ialah cip kelas permulaan yang dihasilkan dengan teknologi 12nm. Maka ia bukanlah cip yang menawarkan prestasi yang tinggi. Berikut adalah markah yang dicatatkan Helio G85 dalam tiga ujian penanda aras utama.
- Geekbench 5 – 345/1282 Markah
- Antutu 3D – 234,360 Markah
- Wild Life – 724 Markah
Markah Geeekbench yang dicatatkan adalah sedikit lebih rendah berbanding Snapdragon 680 4G tetapi lebih 40% pula lebih tinggi dalam ujian Wild Life. Sementara itu markah dalam ujian Antutu pula, Helio G85 mencatatkan sekitar 10,000 markah lebih rendah berbanding Snapdragon 680 4G.

Tetapi apakah makna di sebalik markah yang dicatatkan. Dalam kegunaan harian T50 tidak mempunyai masalah menjalankan aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter. Menjalankan permua 2D atau 3D kelas rendah (seperti Temple Run 2) juga tiada masalah.
Tetapi apabila kami memainkan permua yang memerlukan spesifikasi lebih tinggi seperti PUBG Mobile, COD Mobile dan Diablo Immortal, permua hanya boleh dimainkan pada tetapan sederhana sahaja. Tetapi satu perkara positif mengenai Helio H85 ialah peranti tidak mempunyai isu pemanasan yang melampau selepas sesi permua yang panjang.

Telefoni, GPS, WiFi Dan Radio
Helio G85 tidak menyokong rangkaian 5G. Dalam ujian 4G LTE, panggilan suara adalah jelas pada rangkaian telko yang digunakan. Terdapat sokongan untuk VoLTE dan VoWiFi pada telko yang menyokongnya. Ini sedikit sebanyak menyelesaikan isu rangkaian 4G yang teruk dalam bangunan di Malaysia sekarang untuk melakukan panggilan suara.

GPS juga berfungsi dengan baik cuma tidak sepantas seperti pada cip lebih mercu. Perlu menanti beberapa saat lebih lama sebelum kedudukan dalam peta dapat ditunjukkan dengan tepat. Masih juga terdapat sokongan radio tetapi ini memerlukan sambungan fon kepala berwayar untuk digunakan. Sekiranya tiada isyarat radio tidak dapat ditangkap dengan jelas. Dengan sokongan WiFi 5GHz pula, kelajuan internet yang pantas dapat dinikmati ketika di rumah misalnya.
Kamera
Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar 64MP, lensa ultra sudut lebar 8MP dan makro 2MP. Di hadapan pula sensor 16MP digunakan untuk swafoto. Aplikasi kamera yang dibekalkan adalah asas tetapi masih mudah digunakan. Satu perkara yang kami rasakan aneh ialah untuk mengakses mod malam kami perlu mencarinya dari menu tambahan. Tiada pilihan untuk meletakkan terus ke tetapan akses pantas yang diberikan pada aplikasi kamera peranti pengeluar lain.
Terdapat mod kecerdasan buatan yang memberikan saranan HDR. Kamera menyokong mud ultra sudut lebar dan zum sehingga 5X sahaja. Secara lalai quad-binning dilakukan pada sensor 64MP supaya gambar yang diambil hanya sebesar 16MP.

Kualiti gambar yang diambil menerusi lensa utama adalah memuaskan untuk sebuah peranti kelas permulaan. Ianya tajam dan cerah dalam situasi pencahayaan yang memuaskan. Tetapi sistem kecerdasan yang disertakan tidak begitu konsisten. Ada kalanya HDR diaktifkan dan ada kalanya tidak. Hasilnya ialah apabila mengambil objek terang seperti langit, kawasan lain yang kurang terang akan kelihatan gelap dalam gambar. Hampir tiada langsung kesan HDR pada gambar yang diambil.
Dalam situasi pencahayaan kurang baik kesan hingar dan sumber cahaya yang kelihatan kembang boleh dilihat dengan jelas. Ini adalah perkara biasa yang berlaku pada kamera peranti kelas permulaan Android. Mod malam hanya sederhana sahaja tetapi masih memuaskan walaupun sensor utama tidak dilengkapi OIS. Mod malam juga hanya boleh digunakan pada lensa utama dan tidak boleh pada dua lagi lensa yang lain.
Boleh di lihat di dua gambar terakhir perbezaan menggunakan mod malam dan tidak. Pada lensa ultra sudut lebar mod malam tidak boleh digunakan. Mod makro pula sekadar gimik kerana sensor sekadar 2MP yang tidak memuaskan.








Bateri
Prestasi bateri sebesar 4000 mAh yang digunakan adalah mengecewakan kerana hanya memberikan 6 jam SOT sahaja pada penggunaan sederhana. Waktu penggunaan paling lama yang dapat kami capai hanyalah sekitar 16 jam pada penggunaan sederhana juga. Menggunakan bateri sebesar ini yang dipadankan dengan skrin 6.6″ IPS LCD adalah kombinasi yang kurang baik.
Hayat bateri T50 adalah kurang memuaskan tetapi sekurang-kurangnya terdapat sokongan pengecasan 40W yang pantas. Waktu pengecasan semula adalah sekitar 40 minit sahaja dengan pengecas yang diberikan dengan setiap pembelian.

Audio
Sekadar audio mono disokong maka seperti boleh diagak audio adalah tidak seimbang. Tiada juga sokongan Dolby Atmos apabila aksesori audio dipasang kepada peranti. Audio yang dihasilkan kedengaran sangat rata dan tidak begitu lantang walaupun pada tetapan paling tinggi. Memainkan muzik atau menonton video terasa kurang memuaskan kerana audio yang dihasilkan tidak cukup baik.

Pesaing
Wiko T50 | Redmi Note 11 | Samsung Galaxy A23 |
6.6″ IPS LCD, 1080 x 2400, 60Hz, (399 PPI) | 6.43″, AMOLED, 1080 x 2400, 90Hz, (409 PPI), HDR10+ | 6.6″ TFT LCD, 1080 x 2408, 90Hz, (400 PPI) |
Helio G85 (12 nm) 2 X 2.0 GHz Cortex A75 6 X 1.8 GHz Cortex A55 | Snapdragon 680 4G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 X 2.5 GHz Kryo 265 Silver | Snapdragon 680 4G (6nm) 4 X 2.4 GHz Kryo 265 Gold 4 X 2.5 GHz Kryo 265 Silver |
Mali-G52 MC2 | Adreno 610 | Adreno 610 |
6 GB RAM LPDDR4x | 4/6 GB RAM LPDDR4x | 6 GB RAM LPDDR4x |
128 GB eMMC 5.1 (Mikro SD 1TB) | 128 GB UFS (Mikro SD 1TB) | 128 GB eMMC 5.1 (Mikro SD 1TB) |
Kamera Utama 64MP, Sudut Lebar 8MP, Ultra Sudut Lebar 2MP, Makro | Kamera Utama 50MP, f/1.8 Sudut Lebar 8MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro 2MP, f/2.4 Kedalaman | Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS, Sudut Lebar 5MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro 2MP, f/2.4 Kedalaman |
Kamera Hadapan 16 MP | Kamera Hadapan 13 MP f/2.4 | Kamera Hadapan 16 MP f/2.5 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Mono | Audio Stereo | Audio Mono |
4000 mAh Berwayar 40W | 5000 mAh Berwayar 33W | 4000 mAh Berwayar 22.5W |
RM899 (6/128GB) | RM749 (4/128GB) RM799 (6/128GB) | RM899 (6/128GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Wiko T50.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 40W.
- 1x Kerangka silikon
- 1x Pelindung skrin.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM

Kesimpulan
Pada harga RM899, Wiko T50 adalah peranti yang tidak akan membebankan golongan B40. Walaupun spesifikasinya bukan yang paling tinggi di pasaran, prestasi peranti adalah amat memuaskan kerana sistem operasi yang digunakan adalah hampir dengan Android asli yang membuatkannya terasa lancar walaupun sekadar dilengkapi 6GB RAM sahaja. Prestasi kamera juga memuaskan dalam pelbagai situasi untuk sebuah peranti kelas permulaan.

Isu yang wujud adalah biasa seperti penggunaan lensa makro yang tidak begitu berguna, bateri yang tidak begitu tahan lama dan masih lagi menggunakan Android 11 di tahun 2022.
Seperti Galaxy A23 yang kami ulas sebelum ini, Wiko T50 ialah peranti yang menyasarkan golongan yang tidak mahu berbelanja lebih untuk sebuah telefon pintar. Untuk tugasan asas ia beroperasi cemerlang. Jika itu yang anda mahukan pada sebuah telefon pintar, Wiko T50 tidak mengecewakan.
Pro
- Skrin besar FHD yang tajam untuk menonton kandungan video.
- Penggunaan yang lancar walaupun tidak berspesifikasi tinggi.
- Bezel agak nipis untuk peranti kelas permulaan.
- Masih mempunyai radio.
- Dilengkapi bicu audio 3.5mm.
- Pengecasan pantas 40W yang disertakan dengan pembelian.
Kontra
- Speaker mono.
- Masih menggunakan Android 11.
- Lensa makro 2MP yang tidak begitu berguna.
- Tiada slot mikro SD.
