Carian
Xiaomi Memperkenalkan Mijia AR Glass Dengan Skrin Mikro OLED, Kamera 50MP, 15x Zum Dan Cip Snapdragon
August 1, 2022 Fahim Zahar

Xiaomi hari ini telah melancarkan kaca mata realiti terimbuh (AR) tersendiri mereka di bawah jenama Mijia. Kaca mata ini diberi nama Mijia AR Glass, yang mana mempunyai skrin, kamera, cip pemprosesan tersendiri serta akan dijual kepada umum.

Ini berbeza dengan jenama lain seperti Oppo yang jualannya terhad, atau hanya sekadar prototaip. Mijia AR Glass ini mempunyai skrin Mikro OLED 0.23-inci, 328ppi daripada Sony yang boleh mencapai 300 nits kecerahan dengan jaminan boleh dilihat di bawah cahaya matahari. Skrin ini akan memaparkan kandungan realiti terimbuh melalui teknologi pencahayaan bentuk bebas (freeform).

Mijia AR Glass turut dimuatkan dengan sistem kamera 50MP sudut lebar f/1.8 dengan EIS, kamera 8MP periskop f/3.4 dengan sokongan 5x zum optikal dan OIS. Kamera ini turut akan digunakan untuk menjejak pergerakan tangan pengguna untuk kawalan kamera dan sistem AR melalui kawalan gestur.

Kaca mata ini turut dijana dengan cip Snapdragon lapan-teras yang tidak didedahkan lagi serta sokongan Xiao AI untuk sistem penterjemahan secara langsung. Kaca mata ini turut mempunyai bateri 1020mAh dan storan 32GB.

Xiaomi akan mengumpul dana untuk produk kaca mata ini melalui program biayasama. Harga jualan peringkat awal adalah RMB2499 dan jualan kepada umum adalah RMB2699 iaitu sekitar RM1780. Ia adalah antara harga paling mampu untuk produk seperti ini.

Komen