Cari @ Amanz

Nothing Phone (1) tidak dinafikan adalah telefon pintar dalam kelas pertengahan premium yang paling unik pernah kami gunakan. Ia menggunakan rekaan yang cantik, seksi dan lain daripada yang lain. Ia mempunyai rekabentuk seakan iPhone 13 Pro Max, bezel nipis seakan iPhone dan panel belakang kaca lutsinar dengan sistem lampu LED Glyph.

Terkini terdapat laporan daripada media India menyatakan Nothing mungkin akan hadir dengan sebuah Nothing Phone baharu versi “Lite”. Peranti ini dikatakan akan mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan Phone (1), cuma ia tidak akan menyertakan sistem lampu Glyph, tiada pengecasan nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik.

Tetapi peranti ini akan menyertakan pengecas 42W di dalam kotak, walaupun peranti ini akan kekal dengan sokongan pengecasan 33W sahaja. Panel belakang dikatakan akan kekal dengan kaca dan bateri pula dijangka akan mempunyai kapasiti 5000mAh.

Untuk harga jualan, ia dikatakan akan bermula dari  Rs 24,999 untuk model 6/128 GB – iaitu sekitar RM1400.

Nothing Phone (1) hadir dengan skrin 6.55-inci FHD+ AMOLED 120Hz, dijana Snapdragon 778G+, memori dan storan sehingga 12/256 GB, dwi-kamera 50MP, bateri 4500mAh, perlindungan air dan debu IP53, rekaan unik dan premium serta sistem lampu Glyph yang menarik. Peranti juga menjalankan sistem operasi tersendiri iaitu Nothing OS, yang dibina berasaskan Android asli.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd