Cari @ Amanz

Google telah mengumumkan sejak Jun lalu yang perkhidmatan panggilan video Duo dan perkhidmatan telesidang Meet akan disatukan menjadi satu aplikasi. Gabungan dua aplikasi ini menjadi satu adalah untuk memudahkan lagi pengguna menggunakan satu sahaja aplikasi untuk perkhidmatan panggilan video.

Beberapa minggu lalu, beberapa pengguna mula melihat notifikasi dalam aplikasi Duo yang Google mula memberi peringatan yang Duo dan Meet akan bergabung. Peringatan ini kini mula sampai ke lebih ramai orang. Bukan itu sahaja, aplikasi Google Meet juga mula menjadi Meet (Original) dengan ikon hijau dan bukan lagi ikon warna-warni Google.

Dalam aplikasi Duo juga, butang memulakan panggilan video sudah berubah menjadi “New” atau “Baharu”. Selepas ditekan turut akan kelihatan pilihan “Buat mesyuarat baharu” dan “Jadualkan dalam Google Calendar” yang mana dua ciri ini adalah untuk Google Meet dan tidak ada pada Duo sebelum ini.

Perubahan penuh dijangka akan berlaku dalam masa beberapa bulan lagi. Google mungkin akan menggunakan nama Meet dengan ikon baharu. Tidak pasti lagi bagaimanakah penjenamaan perkhidmatan panggilan video baharu Google ini akan dilakukan. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd