Tahun 2020 dan 2021 memperlihatkan peningkatan yang sangat tinggi untuk peranti-peranti seperti komputer riba, tablet dan juga komputer Chromebook kerana keperluan untuk bekerja dari rumah.
Setelah memperlihatkan dua tahun peningkatan jualan, dunia akhirnya dilihat kembali seperti sediakala dimana fokus pekerjaan dilihat lebih mementingkan kebolehan bekerja hibrid, gabungan bekerja di dalam dan juga luar pejabat.
Laporan IDC yang dikeluarkan baru-baru ini dilihat memfokuskan kepada pengeluaran tablet dan juga peranti Chromebook, yang memperlihatkan nasib yang berbeza. Untuk peranti tablet, IDC mengatakan bahawa peranti tersebut memperlihatkan pengeluaran 0.15 peratus lebih tinggi dari suku-ke-suku apabila dibandingkan jumlah pengeluaran suku kedua 2021 dengan suku yang sama pada tahun ini.

Ia dilaporkan bahawa sebanyak 40.5 juta unit tablet telah dipasarkan pada suku ini, dengan pihak IDC mengatakan bahawa peranti tablet dilihat bukan sahaja sebuah pengganti komputer yang lebih baik, tetapi juga lebih mudah diintegrasikan kedalam kurikulum pengajian tidak kira peringkat pembelajaran.
Seperti yang dijangka, Apple dan Samsung dilihat mendahului pasaran tablet dengan penawaran peranti-peranti seperti siri Apple iPad dan Samsung Galaxy Tab lebih diminati oleh para pengguna peranti ini.
Dalam pada itu, peranti Chromebook pula terus mencatatkan penurunan dari segi pemasaran peranti, memperlihatkan penurunan 51 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding dengan suku pertama pada tahun lepas dengan hanya sekitar 6 juta peranti Chromebook dipasarkan.

Dell, Acer dan Lenovo dilihat mendahuiui pasaran Chromebook walaupun masing-masing mencatatkan penurunan jualan permintaan yang semakin merudum. Untuk dua tahun sebelum ini, permintaan Chromebook dilihat sangat tinggi kerana keperluan untuk peranti elektronik yang murah dan berkesan untuk tujuan pembelajaran dari rumah dan luar sekolah.
Akan tetapi IDC mengatakan bahawa pemasaran peranti ini masih lagi lebih tinggi berbanding dengan nombor-nombor sebelum pandemik COVID-19 berlaku, jadi ia dapat dilihat bahawa masih terdapat permintaan yang tinggi untuk peranti-peranti ini.
- Sumber
- IDC