Cari @ Amanz

Insta360 datang lagi dengan sebuah lagi produk kamera inovatif. Kali ini mereka melancarkan pula Insta360 Link yang merupakan sebuah kamera web 4K yang dilengkapi gimbal. Ini membolehkan ia bergerak mengikut subjek seperti ciri Center Stage yang disokong pada Apple Studio Display.

Kamera dilengkapi sensor sebesar 1/2″ yang membolehkan ia melakukan rakaman sehingga 4K, sokongan HDR dan mod yang menerangkan visual dalam situasi gelap. Kecerdasan buatan membolehkan Link mengekori subjek yang bergerak ketika ia digunakan. Ia turut boleh memastikan visual kelihatan tepat apabila digunakan untuk memandang ke bawah untuk melihat subjek di atas meja misalnya.

Selain itu terdapat juga mod papan putih yang memberikan tumpuan kepada papan putih sahaja ketika melajukan kelas atas talian, kawalan gestur untuk zum serta menukar mod kamera dan mod potret yang merakam video menegak. Dari segi privasi pula kamera akan terus memandang ke bawah apabila tidak digunakan.

Insta360 Link boleh digunakan pada komputer Windows, dan macOS. Sumber kuasa adalah menggunakan USB-C sepenuhnya. Kamera ini dijual pada harga bermula £319 (~RM1732) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd