Pengenalan untuk Samsung Galaxy Watch5 kelak menjadi model kemaskini buat rangkaian peranti boleh-pakai Samsung. Pelbagai desas-desus mengenainya telah kedengaran dan kini harga jualannya pula dikhabarkan tertiris awal sebelum pelancaran rasmi yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.
Maklumat tertiris menunjukkan harga untuk jam tangan pintar ini adalah lebih rendah berbanding model terdahulu. Ada kebarangkalian Samsung Galaxy Watch5 ditawarkan dalam dua saiz berbeza yang merangkumi 44mm dengan harga CAD349 (~RM1,210) dan 46mm pula pada CAD389 (~RM1,349). Sementara itu, model Galaxy Watch5 Pro pula sekadar tersedia dalam saiz 45mm dengan harga jualan sekitar CAD435 (~RM1,508) seutas.
Di samping itu, reka bentuk pada jam tangan turut diperlihatkan menerusi perkongsian yang sama tetapi tiada maklumat mengenai spesifikasi yang didedahkan dengan lebih lanjut. Seperti biasa, segala maklumat yang dikongsi buat masa ini masih satu spekulasi awal. Nantikan pelancaran rasmi kelak untuk lebih lanjut.