Dreame adalah jenama barangan elektrik di bawah Xiaomi Ecological Chain. Produk mereka yang popular adalah vakum nirwayar seperti Dyson. Jenama ini turut bersaing dengan jenama seperti Roidmi atau juga Roborock.
Terkini Dreame melancarkan dua vakum baharu di pasaran Malaysia, iaitu Dreame H12 Wet & Dry Cordless Vacuum Cleaner dan Dreame Bot W10 Self-Cleaning. Satu adalah vakum nirwayar penuh dengan sokongan mop lantai dan satu lagi adalah robot vakum dengan stesen pengecasan dan pembersihan sendiri.
Dreame H12
Dreame H12 adalah vakum nirwayar penuh dua dalam satu yang membolehkan kerja memvakum sekali dengan mop dalam satu masa. Ia juga adalah vakum yang hadir dengan sistem berus bermotor serta mempunyai stesen pengecas yang turut boleh membersihkan berus.

Vakum ini boleh mengenalpasti jenis kotoran untuk mod menyedut habuk yang berbeza kekuatannya. Dreame H12 juga mempunyai dua tangki air, satu bersih dan tangki air kotor yang boleh memberi amaran kepada pengguna sama ada tangki penuh atau tidak. Turut disertakan adalah mod untuk mengemop dan vakum serentak, dengan mod auto, mod mop, atau mod menyedut cecair tanpa mop.

Berus elektrik yang digunakan juga akan memudahkan lagi pengguna untuk melakukan kerja pembersihan dan tidak memerlukan tenaga tambahan untuk menggunakannya. Bateri vakum ini adalah 6x 4000mAh dan menjamin boleh melakukan kerja pembersihan menyeluruh selama sekitar setengah jam dengan satu pengecaasan. Harga jualan adalah RM2,599 dan pengguna akan menerima sekali cecair pembersih.
Dreame Bot W10 Pro
Robot vakum adalah produk peranti berhubung yang sengit bersaing dalam pasaran sekarang. Banyak jenama mula hadir ke pasaran Malaysia dan masing-masing mempunyai penawaran menarik dan ciri/fungsi hebat. Seperti kebanyakan robot vakum mercu, Dreame Bot W10 Pro bukan sekadar boleh menyedut habuk, tetapi turut mop.

Ia mempunyai kuasa sedutan yang sama dengan Dreame H12 iaitu 4000Pa dan berus boleh berpusing pada kadar 180 kali seminit dengan turut mempunyai berus halus pada tubuh berbentuk D untuk menyedut habuk di bucu bilik atau ruangan sempit.
Ia hadir dengan sistem LiDAR SLAM yang boleh mengesan lokasi dan menghasilkan peta sendiri dan menyimpan peta bilik untuk rumah 3 tingkat. Mod pembersihan ada beberapa, seperti vakum atau mod serta ada mod mengesan permaidani dengan sensor ultrasonik untuk mod pembersihan dengan sedutan lebih kuat dan mematikan mop agar permaidani tidak basah.

Stesen pengecasan robot vakum ini mempunyai sistem pembersihan berus, mengosongkan tangki air dan membersihkan pad mop dengan ciri mengeringkan sekali agar tidak menghabiskan masa yang terlampau lama untuk sesi pembersihan seterusnya.

Ia mempunyai dua tangki air 1.06 galon untuk air bersih dan kotor, serta bateri 6400mAh untuk pembersihan rumah dengan luas mencapai 2,152 kaki persegi pada satu pengecasan. Harga jualan adalah RM4,799 dengan stesen pengecas disertakan sekali.